SEGAMAT – 18 pelajar berdepan detik cemas apabila asrama puteri Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kenangan, Batu Anam yang dihuni terbakar dalam kejadian malam semalam.
Dalam kejadian pada pukul 7.40 malam itu, kesemua pelajar terselamat dan tiada kemalangan jiwa serta kecederaan dilaporkan.
Menurut Ketua Balai Bomba Penyelamat Bandar Segamat, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Muhd Hazim Abdul Razak, kebakaran berlaku ke atas bangunan asrama dua tingkat di Blok B asrama puteri.
“Kebakaran bangunan jenis kekal tersebut yang melibatkan satu bilik asrama (Tahan 2) daripada sembilan bilik asrama keseluruhannya.
“Kebakaran melibatkan sebuah bilik asrama di tingkat bawah yang berkeluasan 15 x 8 meter dan telah memusnahkan 80 peratus daripada keseluruhan bilik tersebut.
“Pihak bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran 200 kaki satu breeching dua pancutan sehingga api padam sepenuhnya,” katanya ketika di temui di BBP Segamat hari ini.
Katanya, selain kemusnahan ruang bilik asrama, 10 unit katil bertingkat turut hangus dalam kebakaran.
“Seramai 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Segamat dan BPP Bandar Baru Segamat bersama lima jentera dikejarkan ke tempat kejadian.
“Punca kejadian dan anggaran kerugian yang dialami masih dalam siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE