fbpx

Ayuh Elly, masuk lagi – Hetty Koes Endang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JURI All Stars Gegar Vaganza, Hetty Koes Endang menegaskan Elly sepatutnya berusaha menyesuaikan diri dengan Nabil Ahmad dan Jihan Muse, bukannya menarik diri secara tiba-tiba.

PETALING JAYA – Pengunduran Elly Mazlein sebagai pengacara All Stars Gegar Vaganza (GV10) bukan satu isu besar sebaliknya persembahan 13 peserta yang perlu dijadikan fokus utama dan itu yang ditegaskan oleh salah seorang juri tetapnya yang juga penyanyi popular Indonesia, Hetty Koes Endang.

Menurutnya, Elly sepatutnya berusaha menyesuaikan diri bersama dua hos asal GV iaitu Nabil Ahmad dan Jihan Muse, bukannya menarik diri secara tiba-tiba sehingga membuatkan para peminat program tersebut kecewa.

“Saya juga baru tahu mengenai hal itu tetapi acara tetap perlu berlangsung kerana GV10 bukan mengenai dia seorang sahaja kerana yang perlu diberikan lebih perhatian ialah barisan peserta yang berjuang.

“Sebenarnya, bila kita masuk ke rumah orang dan mahu bertuan dengan yang baharu, jadi perlu ikut (cara) mereka.

“Bukankah Jihan dan Nabil lebih lama menjadi hos GV,” katanya menerusi satu temu bual yang tular dalam media sosial.

Tambah pelantun lagu Kasih itu, Elly boleh membawa cara pengacaraannya sendiri tetapi mentalnya perlu kuat sekiranya menghadapi sebarang kritikan daripada orang sekeliling termasuk rakan hos lain.

“Dia dibenarkan untuk membawa versinya sendiri tetapi mungkin dua lagi hos mempunyai cara berbeza.

“Cuma, dia kuat mental atau tidak? Jangan main hati dan perasaan sebab dia masuk ke rumah orang,” jelasnya.

Menerusi video tersebut, Hetty turut memujuk Elly yang juga merupakan bekas peserta GV kembali menyertai program tersebut dengan semangat yang lebih kuat.

Bahkan dia juga menolak dakwaan cara Elly mengendalikan GV10 menjengkelkan seperti yang sering dikecam ramai sebelum ini.

“Kepada peminat Elly, dia tidak jelik! Jadi, jika dia tidak kuat, keputusan untuk keluar itu yang diambilnya. Jangan. Ayuh dan sama-sama.

“Tiada istilah kamu bagus dan saya jelik, mari kita kerja berpasukan untuk menjayakan GV10.

“Kadang-kadang dia memang agak sedikit terkeluar dari landasan tetapi saya pujuknya kembali ‘hey Lina, kamu bagus sekali tetapi lebih baik sekiranya tidak menyanyi’ supaya dia tidak ‘over’.

“Kalau saya hanya di mulut sahaja dan bukan hati. Dia okey dan mesej saya sekiranya ada hal-hal berbangkit selain minta maaf jika terdapat keterlanjuran dalam gurauan,” tegasnya.

Pada minggu lalu, Elly yang popular dengan panggilan Kak Lina Pom Pom memgejutkan ramai apabila mengumumkan menarik diri sebagai hos GV10 selepas tiga minggu beraksi.

Tidak mendedahkan butiran lanjut, keputusan tersebut diambil atas sebab peribadi yang enggan dikongsi kepada umum selain menafikan dia sedang hamil.

Semalam, Elly sekali lagi menuai perhatian apabila memuat naik hantaran InstaStory dengan menyindir segelintir pihak yang tidak habis-habis mencanang tentang dirinya kepada umum.

Pelantun lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan itu memberitahu, mengalah tidak semestinya dirinya kalah seperti memberi bayangan tentang alasan pengunduran sebagai pengacara GV10. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI