KUALA LUMPUR – Hasrat beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun untuk meraih gelaran kedua musim ini tidak tertunai apabila mereka tewas pada perlawanan akhir kejohanan badminton Terbuka Arctic di Vantaa, Finland.
Pada aksi final yang berlangsung di Vantaa Energia Arena sebentar tadi, pasangan No.23 dunia itu terpaksa akur dengan kekalahan straight set 18-21, 17-21 kepada pilihan keempat dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.
Walaupun cuba memberikan tentangan sengit, namun ia belum cukup untuk memastikan kemenangan ke atas wakil Eropah yang berada pada ranking ketujuh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) itu.
Untuk rekod, ini adalah kekalahan pertama Wei Chong-Kai Wun kepada pasangan Denmark tersebut selepas pertemuan sulung kedua-dua beregu pada Malaysia Masters Mei lalu memihak kepada gandingan negara.
Selaku juara, Astrup-Rasmussen membawa pulang hadiah wang tunai AS$33,180 (RM156,891) berserta pingat manakala Wei Chong-Kai Wun berpuas hati dengan AS$15,960 (RM75,466) dan pingat. – KOSMO! ONLINE