UNIVERSITI Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus proaktif memperkasa dan meluaskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bukan hanya dalam negara, malah merentas rantau Asia Tenggara termasuk Kemboja.
Perkara itu dizahirkan menerusi pertemuan antara Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Ts Dr. Massila Kamalrudin bersama Timbalan Perdana Menteri Kemboja, Sun Chanthol baru-baru ini.
Pertemuan serampang dua mata itu bersempena Konvensyen Dunia Melayu Dunia Islam ke-21 yang telah berlangsung di Phnom Penh.
Massila berkata, pertemuan tersebut telah berjaya menyuntik kerjasama dua hala antara Malaysia dengan tonggak kepimpinan dan pentadbiran baharu negara berkenaan.
“Ruang dan peluang ini digunakan bagi memperkenalkan UTeM sebagai universiti teknikal pertama di Malaysia dan perintis program TVET di negara ini yang kini turut memperluaskannya di rantau Asia Tenggara.
“Antara perkara yang dibincangkan adalah peluang kolaborasi antara UTeM dan institusi-institusi di Kemboja dalam bidang TVET.
“Pada masa sama, kami cuba mengenal pasti bidang-bidang dalam pendidikan TVET yang diperlukan oleh pihak Kemboja,” katanya.
Pada majlis tersebut yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Melaka dan Canselor UTeM, Tun Mohd. Ali Rustam, pihak UTeM juga menyerahkan prospektus universiti kepada Sun Chanthol dan merangka kerjasama dua hala antara UTeM dengan kerajaan Kemboja.
Sementara itu, delegasi UTeM turut mengadakan perbincangan bersama wakil daripada Kementerian Buruh dan Latihan Vokasional Kemboja.
Perbincangan itu diwakili Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (DGTVET), Chan Vichet dan Pengarah, Jabatan Latihan Khun Leakhana.
“Mereka turut nyatakan minat dengan program pensijilan profesional, program padanan dalam bidang TVET serta latihan yang boleh disediakan oleh akademi TVET Wanita Jelita UTeM,” ujarnya.
Dalam pada itu, pihak Kemboja dalam satu kenyataan akhbar menzahirkan keterujaan dan berminat mendalami bidang TVET serta program pengajian menarik ditawarkan UTeM.
Ujarnya, mereka dalam proses mengenal pasti program pensijilan TVET aras tinggi serta kursus dan latihan jangka pendek bersesuaian.
“UTeM amat dikenali sebagai institusi pengajian tinggi teknikal yang telah berjaya menzahirkan TVET aras tinggi secara komprehensif dan dinamik.
“Kejayaannya membangunkan TVET selari dengan kemodenan teknologi dunia membuatkan kami tertarik dan terbuka menjalinkan usahasama proaktif ini.
“Kolaborasi strategik ini pasti memberikan banyak kelebihan dan manfaat bagi bertukar-tukar kepakaran antara dua negara terutamanya dalam bidang TVET,” ujar kenyataan itu.