fbpx

UiTM semarak semangat altruisme masyarakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAHAGIAN mahasiswa UiTM dan para peserta yang menyertai Festival Altruisme 3.0 2023 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

KEPRIHATINAN merupakan satu sifat terpuji yang harus ada dalam diri semua orang.

Sekiranya setiap di antara kita mempunyai sifat tersebut, sudah semestinya masyarakat akan hidup dalam suasana cukup harmoni.

Dalam usaha menyemarakkan sifat keprihatinan yang tinggi dalam anggota masyarakat, Akademi Pengajian Bahasa (APB), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor menganjurkan Festival Altruisme 3.0 2023.

Festival bersiri yang kali ketiga diadakan itu berlangsung di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam baru-baru ini.

Untuk makluman, festival berkenaan pertama kali dilaksanakan pada tahun 2017 dan seterusnya pada 2018 iaitu setahun sebelum pandemik Covid-19 sehingga menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan di seluruh dunia.

Pengarah Unit Perkhidmatan Orang Kurang Upaya (OKU) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Madya Ts. Dr. Roslinda Alias berkata, program tersebut diadakan semula pada tahun ini bagi memastikan nilai-nilai altruisme wujud dalam masyarakat.

Ujarnya, altruisme merujuk kepada sifat keprihatinan yang tinggi serta prinsip mengutamakan kebajikan orang lain.

“Pada tahun ini, tema festival adalah ‘Altruisme Meningkatkan Kesedaran Komuniti Inklusif Golongan OKU’.

“Menerusi tema itu, ia diharap mampu membawa masyarakat dan agensi berkaitan menggembleng idea serta tenaga dalam merangka kesejahteraan komuniti inklusif ini.

“Sifat keprihatinan (altruisme) ini sejajar dengan misi dan visi Unit Perkhidmatan OKU UiTM dalam menyebarluaskan peranan mahasiswa dan masyarakat umum bagi membantu golongan memerlukan tanpa mengambil kira latar belakang bangsa serta masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian Festival Altruisme 3.0 2023 yang disempurnakan oleh Naib Yang Di-Pertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor, Lim Bee Eng.

Roslinda berkata, sebagai sebuah institusi pendidikan, festival tersebut merupakan salah satu platform untuk memangkin aktiviti kemasyarakatan dan kesukarelawan dalam kalangan mahasiswa UiTM.

BEBERAPA kanak-kanak menyertai salah satu aktiviti yang diadakan oleh penganjur ketika Festival Altruisme 3.0 2023.

Jelasnya, program itu juga membentuk jaringan industri menerusi alumni dan organisasi luar berkaitan.

“Perkara ini sejajar dengan salah satu teras dalam visi Malaysia Madani yang digagaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Teras tersebut diilhamkan berdasarkan konsep kesediaan menerima perubahan dengan mengambil kira saranan segenap lapisan masyarakat.

“Dengan hasrat pemulihan melalui reformasi substantif demi Malaysia lebih maju dan makmur,” jelasnya.

Menurutnya, program tersebut dijayakan dengan kerjasama erat pihak MBSA, Dekan APB, Prof. Dr. Janudin Sardi, warga kerja APB, Unit Perkhidmatan OKU dan Pejabat Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni UiTM (ICAN).

Katanya lagi, festival itu turut melibatkan agensi dalaman dan luaran UiTM seperti Kolej Kediaman Mawar, Kolej Kediaman Teratai, Hospital Al-Sultan Abdullah, Pusat Kesihatan UiTM, Kolej Seni Kreatif, badan bukan kerajaan (NGO), sekolah-sekolah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan persatuan serta kelab dalaman APB.

Pelbagai agensi dari luar turut memberi komitmen dan memainkan peranan dalam kejayaan festival itu.

Pengarah Komunikasi Korporat MBSA, Azhar Mohd. Sharif berkata, sebagai rakan strategik festival tersebut, penganjuran itu bertepatan dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) 1.

Menurutnya, ia memfokuskan kepada menjamin pendidikan menyeluruh dan ekuiti serta menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat kepada semua pelajar, selain memupuk semangat perikemanusiaan.

“Sehubungan itu, kita menyusun pelbagai aktiviti sejajar dengan objektif yang telah ditetapkan.

“Antaranya, Stesen Karnival OKU yang menyediakan aktiviti seperti catur braille, dam ular braille, domino braille, boling, ping pong, carian perkataan, mewarna dan melukis, seni tanah liat, lukisan inai serta lukisan muka.

“Turut diadakan adalah program Bual Bicara: Cakna OKU dengan kupasan tajuk, ‘Isu Ketidaksetaraan dan Kebolehcapaian dalam Kalangan OKU di Malaysia’.

“Program itu dimeriahkan dengan sembang santai bersama Ketua Jurulatih Pasukan Bola Sepak Buta Malaysia dan Pengasas Kelab Bola Sepak PanDisability, Sunny Shalesh.

“Aktiviti lain pada festival tersebut adalah bengkel asas braille, bengkel asas bahasa isyarat, urutan kepala dan bahu, perkhidmatan gunting rambut, saringan kesihatan serta cabutan bertuah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI