fbpx

‘Tuhan hanya bagi kami jaga dia 14 tahun’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NIK NOR DIANA menunjukkan gambar kenangannya bersama Muhamad Nadim yang maut akibat renjatan elektrik ketika ditemui di HRPB, Ipoh semalam.

IPOH – Ibu kepada remaja lelaki yang maut terkena renjatan elektrik di gerai burger di Taman Bercham Raya di sini semalam terkilan tidak sempat menunaikan ‘permintaan terakhir’ anak­nya yang mahu menjamah ayam goreng kunyit.

Nik Nor Diana Ismail, 44, berkata, anak lelaki tunggal daripada tiga beradik itu menyuarakan hasrat tersebut baru-baru ini dan bercadang bertemunya di Batu Pahat, Johor pada hujung bulan ini.

“Saya dan bapa Adim (Muhamad Nadim Taqwa) telah berpisah dan dia tinggal bersama bapanya di Ipoh. Bulan lepas pukul 3 pagi dia WhatsApp dan beritahu rindu nak makan ayam goreng kunyit.

“Dia beritahu nak datang ke Batu Pahat, jadi saya beritahu datanglah, hari-hari pun saya boleh masakkan ayam goreng kunyit untuknya,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan
Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini semalam.

Menurut Nik Nor Diana, dia mengetahui kejadian menimpa anaknya itu selepas dimaklumkan bekas suami, Abdul Malek Abdul Samat, 61, sekitar pukul 2 pagi.

Katanya, dia pada mulanya menyangka Muhamad Nadim cedera kerana terlibat kemalangan jalan raya dan sama sekali tidak menyangka remaja itu maut akibat renjatan elektrik.

“Adim anak yang sangat baik, dia sangat manja dan kalau boleh tidur pun mahu di bawah ketiak. Dia juga tidak kedekut, kalau ada duit dia selalu tanya saya jika mahu apa-apa.

“Saya hilang satu-satunya anak lelaki tapi saya reda dengan apa yang terjadi. Tidak mengapalah, memang sudah tiba masa dan kami cuma jaga dia selama 14 tahun sahaja,” katanya yang kali terakhir berhubung dengan Muhamad Nadim menerusi WhatsApp malam kelmarin.

Abdul Malek menceritakan kejadian menimpa Muhamad Nadim di Jabatan Forensik HRPB Ipoh semalam.

Sementara itu, bapa Muhamad Nadim memberitahu, selain membantunya berniaga pasar malam, anaknya itu turut mengambil upah mengemas gerai burger.

Katanya, kejadian dikatakan berlaku ketika anaknya dan seorang rakan sedang bersiap menutup operasi gerai berkenaan sebelum kedua-duanya terkena renjatan elektrik.

“Semalam, dia tolong saya berniaga ayam goreng di pasar malam Bercham Raya sebelum ke gerai burger sekitar pukul 12.30 tengah malam sebab dia mengambil upah mengemas.

“Apa yang diberitahu, rakannya yang mula terkena renjatan elektrik sebelum dia cuba membantu. Kejadian menimpa mereka pun diketahui selepas seorang penghantar makanan kebetulan melalui hadapan gerai tersebut,” katanya.

Dalam kejadian sekitar pukul 1.15 pagi itu, selain Muhamad Nadim, 14, turut maut, seorang lagi pekerja gerai burger, Mohamad Elias Kamarudin, 30.

Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Jenazah Muhamad Nadim dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tambun manakala jenazah Mohamad Elias pula dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cahaya Masai, Pasir Gudang, Johor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI