GUA MUSANG – Lebih 3,000 penduduk Kampung Jerek di sini beransur lega selepas seekor daripada tiga ekor beruang matahari yang membuat sarang atas pokok rambutan dan lubang tanah di kampung itu berjaya ditangkap kelmarin.
Haiwan itu memasuki perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pada pukul 8.30 malam.
Penduduk kampung, Mohd. Fahmi Aziz Matsin, 25, berkata, haiwan liar itu memasuki perangkap berkenaan selepas seminggu diletakkan di belakang rumah penduduk.
Menurut lelaki itu, dia mendengar bunyi dentuman kuat seperti berlaku kemalangan di belakang rumahnya selepas selesai solat isyak.
“Saya menjenguk ke luar melalui tingkap dan mendapati pintu perangkap sudah tertutup. Saya nampak seekor beruang di dalamnya lalu menghubungi Perhilitan. Haiwan itu berbunyi agak kuat dan meronta-ronta dalam perangkap,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.
Mohd. Fahmi memberitahu, Perhilitan meletakkan umpan madu dan susu di dalam perangkap sejak minggu lalu selepas menerima aduan mengenai kehadiran haiwan tersebut daripada penduduk kampung.
Seorang lagi penduduk, Sabariah Mohamed Sayuti, 43, berkata, dia bersyukur apabila beruang yang berkeliaran di kampung tersebut sejak dua bulan lalu akhirnya dapat ditangkap.
Wanita itu berterima kasih kepada pihak Perhilitan yang berkampung di sini selama sebulan dalam usaha untuk menangkap dan menjejaki haiwan liar terbabit.
“Penduduk di sini sudah mampu menarik nafas lega sekarang apabila haiwan liar itu berjaya ditangkap. Sebelum ini, kami takut sekiranya terserempak dengan beruang terbabit ketika dalam perjalanan ke surau pada waktu pagi,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, operasi menangkap beruang bermula 14 Ogos lalu berhampiran kawasan sekolah, sebelum dipindahkan ke belakang rumah penduduk pada 5 Oktober lalu.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, penduduk Kampung Jerek khuatir mengenai keselamatan mereka apabila tiga ekor beruang matahari didapati membuat sarang di atas pokok rambutan dan lubang tanah sejak dua bulan lalu.
Haiwan yang bersarang di atas pokok rambutan di belakang rumahnya dipercayai kelaparan dan kerap selongkar sisa sampah serta mengambil buah-buahan.