KIGALI, RWANDA – Seorang lelaki dari Rwanda baru-baru ini menjadi perhatian ramai selepas didapati mengasingkan diri di sebuah rumah terpencil selama lebih setengah abad kerana takut kepada wanita, lapor laman berita Oddity Central kelmarin.
Callitxe Nzamwita, 71, berumur 16 tahun apabila dia menyedari bahawa ketakutannya terhadap wanita sukar dibendung.
Dia takut untuk dikelilingi wanita dan bercakap dengan mereka. Ia membuatkan lelaki itu membina pagar setinggi 4.5 meter di rumahnya dan tidak pernah menjejakkan kaki ke luar kediaman tersebut.
Namun, meskipun takut kepada golongan berkenaan, penduduk wanita di komuniti di mana dia tinggal ialah individu yang membantu memberikan makanan dan pakaian kepadanya.
“Apabila kami membantunya, dia tidak mahu kami mendekati atau bercakap dengannya.
“Sebaliknya, kami memberi sesuatu barangan dengan melemparkan (barangan) ke dalam rumahnya sebelum Nzamwita datang mengambilnya.
“Dia tidak membenarkan kami mendekatinya tetapi masih mengambil apa yang kami tawarkan dari jauh,” kata seorang penduduk wanita.
Meskipun tidak pernah didiagnosis, Nzamwita dipercayai mengalami gynophobia, iaitu keadaan yang disifatkan sebagai ketakutan yang tidak masuk akal dan tidak rasional terhadap wanita.
“Saya tidak mahu wanita berada di sekeliling saya kerana mereka amat menakutkan,” kata Nzamwita. – AGENSI