fbpx

Janna Nick faham derita Shila Amzah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Janna berpendapat masalah keluarga tidak patut dicanang menerusi platform media sosial,

PETALING JAYA – Pelakon Janna Nick mengakui memahami konflik dalaman antara Shila Amzah dan adik beradiknya memandangkan dia turut datang daripada keluarga yang bercerai berai.

Kata pemilik nama penuh Nurul Jannah Muner itu, tanggungjawab digalas anak sulung bukanlah sesuatu perkara yang mudah.

Begitupun, aktres berusia 28 tahun itu tidak pernah mengharapkan sebarang balasan sebaliknya percaya dalam setiap rezeki, terselit bahagian orang lain.

“Tidak dinafikan, tanggungjawab sebagai anak sulung itu memang besar tapi kita kena fikir keberkatan di sebaliknya dan tidak boleh mengharapkan orang lain membalas jasa kita.

“Punca rezeki kita itu mungkin sebenarnya datang daripada kita membantu ahli keluarga, tak kisahlah orang itu buat jahat atau layan kita tak baik.

“Selagi rezeki kita tak putus selagi itulah kita cuba berbagi, boleh jadi kita ini hanya sekadar pengantara atau orang tengah kepada rezeki itu,” katanya kepada Kosmo! Online.

Dalam pada itu, Janna berpendapat masalah keluarga tidak patut dicanang menerusi platform media sosial sebaliknya perlu duduk semeja dan menyelesaikannya secara baik-baik tanpa campur tangan pihak luar.

Malah katanya, mungkin masih ada individu tidak sedar hal buruk disebarkan dalam sosial media boleh menjejaskan pendapatan artis atau personaliti umum.

“Sebagai figura awam, sebahagian pendapatan datangnya daripada media sosial, kalau ada ahli keluarga mencemarkan nama baik kita, itu maknanya dia memang mempunyai niat tidak baik.

“Walaupun sekadar ingin menjelaskan keadaan, media sosial bukan tempat yang betul. Saya tidak memihak kepada sesiapa tetapi pendapat secara umum.

“Malah saya sendiri berharap jika perkara sebegini berlaku (kepada keluarga sendiri), harapnya tidak menggunakan media sosial sebagai tempat meluahkan perasaan,” jelasnya panjang lebar.

Sebelum ini, krisis dalaman keluarga Shila bermula selepas adik bongsunya, Syada membuat luahan mencari rumah sewa disebabkan bakal dihalau keluar dari kediaman yang didiami bersama ibu mereka.

Rentetan itu, Shila membuat balasan dalam sesi siaran langsung dalam Instagram dengan mendedahkan dirinya bekerja sejak kecil selain tidak memegang kad bank serta pengenalan diri sehingga berumur 28 tahun.

Pelantun Memori Tercipta itu turut memperincikan hal menjual rumah serta sikap Syafiq dan Syada sehingga ibu mereka, Fauziah Sarman pula tampil yang menghangatkan lagi konflik terbuka keluarga. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI