PONTIAN – Penerima inisiatif perumahan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyifatkan pembinaan kediaman berharga RM85,000 sebagai tanda penghargaan kerajaan kepada mereka yang berkhidmat kepada negara.
Rata-rata mereka meluahkan rasa syukur dengan bantuan dihulurkan sekali gus meringankan beban hidup para veteran ATM.
Seorang penerima, Bagindak Daing Talisang, 80, berkata, dia akan tinggal di kediaman baharu itu bersama anak lelakinya yang juga bekas pegawai tentera yang patah kaki akibat kemalangan jalan raya.
Bagindak yang telah menamatkan perkhidmatan dengan ATM sejak 30 tahun lalu berkata, sebelum ini, dia tinggal bersama anak perempuannya di Taman Dato Ali, Benut.
“Saya akan berbincang dengan anak lelaki Daing Baktiar Bagindak untuk menjalankan perusahaan menternak ayam kampung sebagai sumber pendapatan tambahan.
“Terima kasih kepada Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) kerana telah meluluskan permohonan saya mendapatkan sebuah rumah untuk saya diami,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Sementara itu, bekas anggota ATM yang pernah bertugas di Kementerian Pertahanan, Siti Zabedah Mohd. Ali, 65, meluahkan rasa terima kasih atas bantuan bagi membolehkan dia memiliki kediaman sendiri di atas tanah milik keluarganya di Kampung Semberong, Kluang.
Dia yang menamatkan perkhidmatan pada 1996 mempunyai dua orang anak termasuk seorang anak angkat.
“Sebelum ini, saya tinggal di rumah yang agak uzur dan kurang selesa dengan adanya rumah baru yang mempunyai dua bilik dan satu bilik air ini memberi keselesaan kepada kami bertiga,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Veteran ATM Cawangan Pontian, Ahmad Safar memberitahu, dianggarkan 30 permohonan membina rumah baharu diterima pihaknya setiap tahun.
Katanya, memandangkan permohonan banyak, pihaknya berharap kerajaan dapat menambah kuota bagi membantu golongan yang memerlukannya.
“Ini kerana tidak semua veteran ATM bernasib baik, sesetengah veteran ATM pula malu untuk menyuarakan masalah mereka, tetapi kami cuba membantu dengan sedaya upayanya,” jelasnya.