TEL AVIV – Fasa baharu serangan Israel terhadap Hamas akan berlaku, demikian menurut tentera Zionis seperti dilaporkan stesen penyiaran CNN semalam.
Ia sekali gus memberi amaran bahawa serangan udara yang melumpuhkan Gaza minggu lalu bakal diikuti dengan operasi darat secara besar-besaran.
Sehingga kini, askar-askar dan peralatan ketenteraan Rejim Zionis berkumpul di sempadan Gaza ketika Israel bersiap sedia untuk meningkatkan tindak balasnya terhadap serangan Hamas pada 7 Oktober lalu.
Jet-jet pejuang rejim Zionis pula terus mengebom Gaza hujung minggu ini ketika orang awam melarikan diri ke selatan berikutan arahan pemindahan yang dikeluarkan oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF).
Berikutan letupan besar-besaran kelmarin, kemusnahan besar boleh dilihat di Jalan Salah Al-Deen, yang merupakan laluan utama untuk pemindahan ke selatan Gaza.
Serangan udara tentera Israel pula telah membunuh 70 orang dan mencederakan 200 lagi sejak perintah pemindahan pertama dikeluarkan pada Jumaat lalu, kata pejabat media Hamas kepada CNN.
Menurut Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan Palestin, perkhidmatan perubatan dan kru pertahanan awam Palestin menjadi sasaran serangan Israel di lokasi operasi menyelamat di utara Gaza kelmarin. – AGENSI