SEBERANG PERAI – Rakyat negara ini terutama golongan berpendapatan rendah menarik nafas lega dengan pengumuman kenaikan bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang diumumkan Perdana
Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2024, Jumaat lalu.
Kenaikan itu didapati bertepatan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini.
Sebelum ini, bayaran STR adalah RM3,100 sebelum dinaikkan kepada RM3,700.
Di Seberang Perai, Pulau Pulang, seorang suri rumah, Faridah Jusoh, 44, berkata, dia banyak bergantung harap kepada pendapatan suami yang bekerja sebagai tukang rumah dengan gaji harian antara RM50 hingga RM70 sehari.
“Alhamdulillah, terima kasih PM (Perdana Menteri) sebab prihatin. Jumlah ini mungkin tidak banyak mana tapi ia sangat-sangat membantu.
“Bila ada STR, boleh la saya ambil tempahan kuih dalam kuantiti yang banyak sebab ada modal,” jelasnya.
Di Kuala Langat, Selangor, pengumuman kenaikan STR bagaikan rahmat kepada seorang suri rumah, Azura Azmi, 37, dalam meringankan beban kewangan keluarga.
Kata wanita berasal dari Teluk Panglima Garang itu, suaminya hanya bekerja sebagai pemandu van dengan pendapatan bawah RM2,000.
“Kami B40 memerlukan STR terutama ketika anak naik sekolah.
“Harga barang pun naik. Jadi, berharap STR ini dapat menampung keperluan empat anak kami yang masih bersekolah,” katanya.
Di Kuala Terengganu, pengumuman kenaikan kadar STR sehingga RM3,700 pada pembentangan Belanjawan 2024 disambut penuh kesyukuran oleh penerimanya terutama dalam kalangan golongan B40.
Salah seorang penerima STR, Tuan Khalid Tuan Hamat, 44, berkata, penambahan kadar STR tersebut merupakan rahmat besar buat keluarganya.
“Saya cuma bekerja nelayan tradisional dengan pendapatan tidak seberapa,” jelasnya.
Seorang penerima STR, Suriani Abdul Rahim, 43, juga bersyukur dengan komitmen kerajaan untuk melunaskan fasa pertama bantuan itu dengan maksimum RM500 sebelum bulan Ramadan, Mac tahun depan.
“Kita serba maklum, sesi persekolahan baharu tahun depan bermula tidak jauh dari ketibaan puasa,” jelasnya.