fbpx

Warga emas hilang ditemui mati lemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota Bomba dan Penyelamat dibantu anggota polis dan Jabatan Pertahanan Awam membawa mayat Abd Aziz Md Lazim yang ditemui mati lemas di Sungai Ketil berhampiran rumahnya di Kampung Kuala Chenerai, Kuala Pegang, hari ini.

BALING – Seorang warga emas yang dikhuatiri hilang pada pukul 8 pagi semalam ditemui mati lemas di Sungai Ketil berhampiran rumahnya di Kampung Kuala Chenerai, Kuala Pegang, di sini kira-kira pukul 12 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, mangsa dikenali sebagai Abd. Aziz Md Lazim, 72, ketika ditemui oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat telah meninggal dunia di dalam Sungai Ketil.

“Sebelum itu, semalam pihak polis telah menerima laporan daripada anak mangsa, Siti Syawani Abd Aziz, 27, mengenai bapanya yang didapati tiada di dalam bilik tidur di rumahnya sekitar pukul 8.50 pagi.

“Mereka telah berusaha mencarinya di sekitar kampung termasuk juga di tepi sungai di belakang rumahnya yang jaraknya lebih kurang 50 meter tetapi masih tidak ditemui,” kata Shamsudin.

Menurutnya, pihak polis telah ke rumah mangsa dan telah dimaklumkan oleh ahli keluarganya mengenai bekas tapak kaki di tebing sungai di belakang rumah mangsa.

Mangsa menghidap penyakit strok ringan dan mengalami masalah ingatan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Mohd. Jamil Md. Daud berkata, operasi mencari dan menyelamat untuk menjejaki mangsa turut dibantu oleh Unit K9 Bomba (Unit Pengesan Jabatan Bomba) yang dikhaskan untuk mengesan bau mayat mangsa.

“Anjing pengesan itu dibawa menghilir ke sungai sejauh satu kilometer dan naik ke hulu sungai untuk mengesan kesan-kesan bau mayat sekiranya ada.

“Sekitar pukul 12 tengah hari, mangsa ditemui di dalam sungai oleh Unit K9 bomba dengan menggunakan teknik ‘body rafting’ pada jarak 100 meter dari tempat mangsa disyaki terjatuh,” kata Mohd Jamil.

Katanya lagi, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Isteri mangsa, Zainab Othman, 48, berkata, suaminya disedari tiada di dalam rumah sekitar pukul 8.50 pagi semalam selepas anaknya, Siti Syawani melihat bapanya tiada di tempat tidurnya.

“Waktu itu selepas saya solat subuh, saya tertidur, sementara suami tidur di ruang tamu berhampiran katilnya, Salwani  bancuh air untuk sarapan bapanya, sempat melihat bekas tidur bapanya dan merasakan bapanya masih tidur di situ.

“Dia melihat kain seperti dihampar memanjang bersama bantal ayahnya seolah-olah ayahnya masih tidur di situ, tetapi malangnya ayahnya tiada di tempat tidurnya lantas memanggil saya untuk memberitahu ayahnya tiada,” kata Zainab. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI