fbpx

Tiada lagi gangguan bekalan air di HRPZ II

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HRPZ II, Kota Bharu

KOTA BHARU – Masalah bekalan air di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) yang sudah berlarutan sejak lebih 10 tahun lalu kini selesai sepenuhnya.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr. Zaini Husin berkata, setakat ini, operasi di HRPZ II berjalan seperti biasa dan tidak lagi berdepan gangguan besar melibatkan masalah bekalan air.

“Alhamdulillah, masalah itu sudah selesai. Setakat ini, operasi di HRPZ II berjalan dengan lancar dan sempurna.

“Kita telah melaksanakan langkah-langkah perlu dalam kadar segera dengan bantuan dari pihak Pengarah HRPZ II, Datuk Dr. Abdul Haris Muhammad dan juga bahagian perkhidmatan hospital,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Sumbangan Kanta Intraokular dan Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Antara Lions Club International dan HRPZ II, di sini hari ini.

Kosmo! Online pada 21 Mac 2021 melaporkan, masalah bekalan air di HRPZ II yang sudah berlarutan sejak lebih 10 tahun lalu kini masih kritikal dan memerlukan penyelesaian segera.

Bekas Pengarah HRPZ II, Datuk Dr. Selasawati Ghazali berkata, hospital itu memerlukan kira-kira 5,000 gelen air sehari untuk pelbagai kegunaan terutamanya dalam operasi penting seperti pembedahan dan rawatan pesakit.

Menurutnya, keperluan asas itu juga diperlukan untuk kemudahan kira-kira 4,000 kakitangan hospital dan orang awam khususnya waris atau keluarga yang menunggu pesakit di wad-wad.

Kata Selasawati, bekalan air di HRPZ II termasuk dalam sembilan projek menaik taraf perkhidmatan air di negeri ini di bawah peruntukan Kementerian Alam Sekitar dan Air ketika ini yang sedang dilakukan secara berperingkat hingga 2023. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI