LIVERPOOL – Pemain sayap Bayern Munich, Leroy Sane dilaporkan menjadi sasaran Liverpool yang sedang membuat persediaan sekiranya gagal untuk menghalang bintang utamanya, Mohamed Salah berhijrah ke Arab Saudi.
Perpindahan Salah bakal menjadi rekod perpindahan termahal yang bakal diterima Liverpool dan mereka juga bersedia untuk memecahkan rekod perpindahan kelab itu dengan mengemukakan tawaran tinggi bagi mendapatkan Sane.
The Reds dijangka tidak keberatan untuk menyiapkan dana yang lebih besar berbanding ketika mereka mendapatkan khidmat Darwin Nunez pada harga £85.6 juta (RM490.73 juta) dari Benfica pada 2022.
Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp dilaporkan sangat meminati gaya permainan bintang antarabangsa Jerman itu dan mahu membawanya kembali ke Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas dia berjaya membantu Manchester City menjulang dua gelaran liga sebelum ini.
Musim ini menyaksikan Salah berjaya memulakan musim dengan baik apabila meledak lima gol dan melakukan empat umpanan gol dalam lapan aksi EPL setakat ini, namun dia kuat dikaitkan dengan perpindahan ke Arab Saudi pada Januari nanti.
Pada musim panas lalu, kelab Al-Ittihad dari Liga Arab Saudi telah mengemukakan tawaran bernilai £150 juta (RM859.92 juta), namun ditolak oleh The Reds.
Namun, berbaki dua tahun kontrak di Anfield, melepaskan Salah pada harga yang tinggi mungkin keputusan yang lebih baik dilakukan oleh Liverpool ketika ini, namun mereka perlu memujuk Bayern melepaskan Sane dengan tawaran harga yang menarik. – AGENSI