LONDON – Pelumba Mexico, Sergio Perez menafikan khabar angin yang menyatakan bahawa dia merancang untuk mengumumkan persaraannya selepas berakhirnya perlumbaan di lamannya sendiri di Grand Prix (GP) Mexico pada hujung bulan ini.
Spekulasi tersebut bertiup kencang selepas pelumba pasukan Red Bull itu dilihat bergelut untuk menaiki podium sebelum dalam tiga perlumbaan sebelum ini.
Bagaimanapun, pelumba berusia 33 tahun itu menyangkal dakwaan tersebut selepas dia mengakui masih terikat kontrak musim depan sekali gus bertekad memberikan terbaik dalam perlumbaan Formula Satu (F1).
Perez menegaskan penting untuknya tampil cemerlang pada 2024 kerana mengetahui kerusinya akan kosong selepas itu.
“Saya masih mempunyai kontrak bersama pasukan Red Bull tahun depan, jadi saya mengharapkan tahun yang baik buat saya. Saya bermotivasi untuk meneruskan perlumbaan ini.
“Saya tidak memikirkan untuk bersara lagi dan mahu teruskan untuk beberapa tahun lagi, kerana saya rasa masih banyak yang perlu saya berikan dalam Formula 1.
“Saya mahu kekal dalam F1 sekurang-kurangnya 3-4 tahun lagi,” kata Perez.
Pelumba Australia, Daniel Ricciardo dikatakan akan kembali ke pangkuan Red Bull untuk menjadi rakan sepasukan Max Verstappen pada musim depan jika Sergio Perez meninggalkan pasukan pada penghujung musim ini. – AGENSI