MANCHESTER – Bilionair Qatar, Sheikh Jassim bin Hamad Al Thani yang dikaitkan sebagai pemilik baharu Manchester United dilaporkan telah menarik diri daripada persaingan untuk mendapatkan hak pemilikan kelab terbabit.
Keputusan yang dibuat Sheikh Jassim itu dikaitkan dengan kekecewaan beliau terhadap sikap pemilik semasa United, Keluarga Glazer yang terus bermain tarik tali dan gagal menetapkan pendirian mereka terhadap tawaran yang dikemukakan.
Taikun Qatar itu dilaporkan sudah membuat beberapa tawaran sebelum ini dengan jumlah yang sentiasa meningkat, namun dikatakan masih gagal untuk menepati nilai yang diinginkan Keluarga Glazer dan kali terakhir nilai bidaan dianggarkan sebanyak £5.5 bilion (RM31.53 bilion), tetapi masih kurang berbanding £6 bilion (RM34.40 bilion) yang diinginkan.
Sumber rapat memberitahu, Shekh Jassim telah mengadakan pertemuan dan rundingan beberapa hari lalu dan selepas tawaran pemilikan penuhnya ditolak, beliau membuat keputusan untuk menarik diri selepas sembilan bulan proses berjalan.
Perkembangan itu menyaksikan peluang seorang lagi bilionair, Sir Jim Ratcliffe untuk menyertai pasukan pemilik United dianggap semakin cerah untuk mendapatkan sebahagian saham biarpun tidak menguasai sepenuhnya kelab itu.
Ratcliffe dikatakan hanya mahu mendapatkan 25 peratus pemilikan United sekali gus menyaksikan Keluarga Glazer kekal sebagai pemilik kelab tersebut dengan pegangan saham terbesar.
Pemilik syarikat petrokimia INEOS itu dipercayai perlu membayar sekitar £1.4 bilion (RM8.03 bilion) hingga £1.5 bilion (RM8.6 bilion) untuk mendapatkan pegangan dengan peratusan tersebut. – AGENSI