fbpx

CCTV jadi saksi Qaseh Aulia bertarung 10 minit – Ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Qaseh Aulia Faizul berusia dua bulan dipercayai mengalami kesukaran bernafas setelah dibiarkan meniarap tanpa pengawasan selama sejam.

PETALING JAYA – Seorang bayi berusia dua bulan maut selepas 10 minit bertarung nyawa angkara pengasuh cuai membiarkannya dalam keadaan dibedung serta meniarap selama satu jam.

Perkara tersebut didedahkan ibu mangsa @asharosli dalam menerusi sebuah video yang dimuat naik di laman media sosial Instagram miliknya.

Jelasnya, kejadian malang itu terjadi pada hari kedua puteri keduanya, Qaseh Aulia Faizul yang berusia dua bulan, dihantar ke sebuah TASKA di Seksyen 6, Kota Damansara, di sini, 10 September lalu.

Menurutnya, anak perempuannya itu tidak sedarkan diri dipercayai berpunca kesukaran bernafas kerana dibiarkan dalam keadaan meniarap tanpa pengawasan selama sejam.

“Dengan keadaan dibedung, posisi meniarap membuatkan sukar untuk bernafas. Tengok rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), hampir 10 minit Aulia berjuang.

“Cuma mungkin terkilan dengan pengakhiran Aulia disebabkan sikap cuai,”tulisnya menerusi video tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, seorang wanita berusia 40-an ditahan selepas dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pukul 3 petang, kelmarin.

Katanya, pengasuh warga asing yang berkahwin dengan warga tempatan itu dibebaskan dengan jaminan polis.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana membabitkan penganiayaan, pengabaian dan pembuangan atau pendedahan kanak-kanak.

“Kita masih menunggu laporan penuh hasil post mortem yang dijalankan terhadap bayi berkenaan,”ujarnya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai memberikan ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI