PENDANG – Seorang bayi perempuan dipercayai baru dilahirkan ditemui di tepi jalan berhampiran ladang getah dekat Kampung Datuk Syed Ahmad, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Pendang, Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan bayi itu kira-kira pukul 7.05 malam semalam.
Katanya, bayi itu ditemui masih hidup dengan kesan darah bersama tali pusat serta uri.
“Bayi terbabit ditinggalkan di dalam bakul serta dibalut dengan kain batik dan tuala. Pemeriksaan dijalankan pihak polis bersama kakitangan Klinik Kesihatan Sungai Tiang mendapati bayi itu masih hidup.
“Kami percaya bayi itu ditinggalkan di kawasan tersebut kurang 12 jam sebelum ditemui,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Susulan siasatan dijalankan katanya, pihaknya menahan seorang wanita dipercayai ibu bayi tersebut dan seorang lelaki dipercayai kenalan lelakinya bagi membantu siasatan.
“Tangkapan dilakukan di Sik secara berasingan. Pihak polis terlebih dulu menahan lelaki tersebut kira-kira pukul 12 tengah hari sebelum menahan wanita terbabit 15 minit kemudian.
“Kedua-dua mereka berusia 20-an dengan lelaki terbabit bekerja sebagai tukang gunting rambut manakala wanita berkenaan pekerja di sebuah kedai telefon bimbit,” katanya.
Tambahnya, kedua-dua individu berkenaan menetap di Sik dan pihaknya masih menjalankan siasatan mengapa bayi tersebut ditinggalkan di daerah ini.
“Semakan mendapati kedua-dua mereka tidak memiliki rekod jenayah lampau. Ujian urin dijalankan juga mendapati mereka negatif dadah. Kedua-dua mereka akan dibawa ke Mahkamah Alor Setar esok bagi mendapatkan perintah tahanan reman,” katanya.
Tambahnya, bayi itu kini dalam keadaan sihat dengan menjalani pemantauan pihak hospital dan diuruskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Masyarakat (JKM). – KOSMO! ONLINE