SHAH ALAM – Kebanyakan pelanggan mengakui lebih memilih keselesaan, tahap perkhidmatan, layanan dan menu yang disediakan di sesebuah kedai atau gerai makanan berbanding populariti di media sosial.
Pesara swasta, Mohd. Rosdi Husin, 60, berkata, perbezaan ketara dapat dilihat dari segi perkhidmatan yang disediakan antara premis tular dan India Muslim.
“Semua kena akui, tidak kira tular atau tidak, apa yang penting adalah layanan serta perkhidmatan segera yang diberikan jika mahu bertahan lama.
“Kadangkala kalau kita masuk kedai tular dan kononnya menarik, tetapi layanan yang diberikan kurang, malah pesanan lambat sampai. Lebih mengecewakan apabila ia sekadar indah khabar daripada rupa,” katanya.
Menurutnya, perkara itu bagaimanapun, jarang berlaku di restoran India Muslim yang mana perkhidmatan mereka pantas, malah harga berpatutan.
“Saya bukan ‘kaki’ kedai India Muslim, tetapi perkhidmatan yang diberikan mereka perlu kita pelajari. Restoran India Muslim tidak perlu tular pun, tetapi tetap menjadi pilihan ramai.
“Kebanyakan kedai tular harga makanan mahal sebab menu yang disediakan dikatakan istimewa, sedangkan sebahagiannya biasa-biasa sahaja,” katanya.
Pekerja swasta, Azhar Abu, 32, memberitahu, dia tidak terlalu obses dengan kedai makanan yang tular di media sosial, sebaliknya memilih premis yang selesa.
“Banyak kedai tular gah pada nama, bukan pada makanan. Mungkin disebabkan dekorasi ala hipster atau pemandangan cantik sahaja,” ujarnya.