GEORGE TOWN – Sebagai tanda sokongan kepada perjuangan umat Islam Palestin yang berterusan dizalimi tentera Israel, sekumpulan penduduk flat PPR Jalan Sungai di sini serta ahli-ahli Pertubuhan Anak Muda Pulau Pinang sepakat mengibarkan bendera Palestin, hari ini.
Mereka mengambil inisiatif membuat sendiri bendera gergasi Palestin sepanjang 15 meter dan menggantungnya bersama-sama di flat PPR berkenaan.
Menurut Pengerusi Pertubuhan Anak Muda Pulau Pinang, Muhammad Nayim Othuman Mydin, mereka memasang bendera itu atas rasa tanggungjawab sebagai Muslim untuk menegakkan Islam dan membantu sesama umat.
“Program ini adalah cetusan idea seorang rakan dan kami memutuskan untuk menjalankan kutipan derma bagi menyiapkan sendiri bendera Palestin sepanjang 15 meter ini.
“Kami bersyukur kerana penduduk setempat turut menyambut baik hasrat ini mereka bersama-sama menyumbang masa dan tenaga bagi menjayakan program ini,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, seramai 200 orang penduduk PPR Jalan Sungai terlibat untuk memasang bendera gergasi itu di kawasan flat tersebut hari ini.
Dalam pada itu, Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Shafiz Rahim berkata, anak-anak muda di Pulau Pinang bersatu padu dan menentang keganasan tentera Israel terhadap rakyat Palestin.
“Perhimpunan, solat hajat untuk Palestin juga diadakan bagi menunjukkan bahawa kita berdiri teguh bersama rakyat Palestin yang dizalimi.
“Kutipan dana untuk Palestin turut dilancarkan dan kita harap rakyat negeri ini tanpa mengira agama dan bangsa dapat bersama-sama menyokong perjuangan Palestin,” katanya. – KOSMO! ONLINE