fbpx

RM45,000 lesap, Azim Yusof menangis tak berlagu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BAGAI dipukau, Azim Yusof menuruti arahan 'scammer' sehingga habis lesap wang yang disimpan selama tiga tahun.

PELAKON baharu, Azim Yusof berputih mata apabila wang yang disimpan selama tiga tahun berjumlah RM45,000 hilang sekelip mata akibat diperdaya ‘scammer’.

Menurut Azim, 26, meski laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Klang Selatan, Selangor, dia masih trauma dan bersedih dengan insiden yang berlaku pada 6 Oktober lalu itu bahkan tidak menyangka menjadi mangsa ‘scammer’.

“Sebelum ini memang banyak dapat panggilan ‘scammer’, tetapi tidak tahu bagaimana kali ini saya boleh menjadi mangsa. Semuanya bermula dengan panggilan kononnya saya ada parcel yang hendak dihantar dari Perlis ke Sarawak.

“Kebetulan saya memang ada beli barang di TikTok dan Shopee, jadi saya layankan panggilan itu. Selepas memberi nombor kad pengenalan, dia kata saya ada terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.

“Selepas diugut ibu bapa akan lihat saya  diangkut polis, bagai dipukau saya boleh ikut sahaja arahan ‘scammer’ itu. Dia suruh saya duduk dalam bilik, kunci pintu walaupun hakikatnya saya memang tinggal sendirian.

“Kemudian, saya keluar dan pergi ke bank dan buat dua transaksi. Transaksi pertama di ATM berjumlah RM30,000, manakala transaksi kedua menerusi telefon bimbit sebanyak RM15,000. Jumlah keseluruhan adalah RM45,000,” ujar Azim yang ditemui pada acara Asics Meta: Time: Trial With Hariz Hamdan semalam.

Jelas pelakon yang mula meraih perhatian menerusi drama Melur Untuk Firdaus 2 itu, dia hanya tersedar selepas pulang ke rumah dan melihat tiada baki dalam akaun bank.

“Saya balik rumah hendak bersiap ke gim, tetapi sempat duduk depan televisyen dan cuba ingat ke mana saya pergi dan buat apa. Apabila teringat saya periksa akaun bank dan mendapati semua duit sudah lesap,” katanya dalam nada kecewa.

Kongsi Azim lagi, duit simpanan itu mahu digunakan untuk membeli kereta dan bercuti bersama keluarga tetapi  terpaksa reda dengan apa yang berlaku.

“Nampaknya saya kena mula menyimpan  semula. Sedih memang sedih, kalau teringat kejadian itu rasa hendak marah. Namun, benda sudah jadi, saya kena reda,” tutur Azim yang memulakan karier lakonan tiga tahun lalu.

Enggan perkara sama berulang, Azim kini lebih berhati-hati menerima panggilan telefon selain memuat naik aplikasi mengesan panggilan ‘scammer’.

“Kita rasa kita tidak akan tertipu, sampailah diri sendiri yang jadi mangsa. Nasihat saya, berhati-hatilah dan jangan terima panggilan yang tidak dikenali,” tegas Azim. – HIBGLAM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI