KUALA LUMPUR – Seramai 17,147 individu termasuk tokan dadah ditahan dalam Operasi Tapis Khas yang dijalankan di seluruh negara bermula Januari hingga Oktober 2023.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah dan Narkotik (JSJN), Datuk Seri Mohd Kamarudin Md. Din berkata, sepanjang Op Tapis Khas 1 hingga Op Tapis Khas 4, kesemua suspek ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah.
Jelasnya, sejumlah 2,434.27 kg dan 4460.14 liter pelbagai jenis dadah yang bernilai RM23,911,348.60 telah berjaya dirampas.
“Suspek yang ditahan melibatkan seramai 153 individu Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK), tokan (2,037), penagih (8,373), wanted person (810), Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1953 (999) dan 4,775 individu bagi lain-lain kesalahan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Sehubungan itu, dari 10 hingga 12 Oktober lalu, seramai 2,528 pegawai serta anggotanya menggempur kawasan FELDA, FELCRA, kawasan perumahan, melakukan sekatan jalan raya di kawasan hotspot dan perkampungan nelayan.
“Sepanjang operasi ini dijalankan seramai 5,014 orang ditahan dan diperiksa. Daripada jumlah tersebut, seramai 4,509 orang ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah. kesemua yang ditangkap berusia 14 hingga 70 tahun.
“Bagi kategori suspek-suspek yang ditangkap melibatkan seramai 482 tokan, penagih (2,232), wanted person (195) orang dan 1,600 bagi lain-lain kesalahan,” katanya.
Sepanjang dua hari beroperasi, sebanyak 129.83 kg serta 492.26 liter pelbagai jenis dadah berjaya dirampas yang dianggarkan bernilai RM1,707,346.66 terdiri daripada heroin (2.7kg), syabu (44.3kg), ketamin (0.012kg), ganja (5.79kg), pil erimin 5 (0.05kg), pil yaba (0.9 kg), ekstasi (0.03 kg), serbuk ekstasi (0.07 kg), daun ketum (75.8 kg), pil psikotropik (0.07 kg), air ketum (484.6 liter) dan kodein (11.66 liter).
Selain itu, tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan harta) 1988, JSJN merampas pelbagai aset bernilai rm 1,103,559.00 iaitu wang tunai bernilai RM9,880, kenderaan (RM1,082,981), barang kemas (RM8,698), jam tangan (RM2,000).
Katanya, nilai keseluruhan rampasan dan sitaan adalah RM2,810,905.66. – KOSMO! ONLINE