fbpx

UTM tubuh Fakulti AI pertama negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
UTM mempunyai lebih 100 pakar dalam bidang AI merentasi pusat pengajian di universiti awam itu.

JOHOR BAHRU – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan menubuhkan Pusat Pengajian Kecerdasan Buatan Pertama Negara menerusi Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) dengan peruntukan awal bernilai RM20 juta.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail berkata, negara perlu bergerak pantas untuk menerajui bidang tujahan masa hadapan selari dengan ledakan transformasi digital global.

Katanya, penubuhan Fakulti AI ini juga selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena pembentangan Belanjawan 2024 bertemakan Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat.

Tambahnya, penumpuan khusus diberikan dalam Belanjawan 2024 untuk membangunkan bakat yang mempunyai pengetahuan, kemahiran dan kompetensi dalam bidang AI dan robotik adalah bertepatan dalam meyakinkan pelabur serta industri.

“Penubuhan Fakulti AI ini akan bercorak multi-disiplin yang mampu menjadikan AI sebagai pemangkin kepada inovasi dalam pelbagai bidang antaranya industri pembuatan, kewangan, kesihatan, pertanian, tenaga boleh diperbaharui, keselamatan, ekonomi dan perubahan iklim.

“UTM amat berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh Perdana Menteri serta Kementerian Pendidikan Tinggi dan menerima tanggungjawab ini dengan penuh amanah untuk bersama membangunkan negara sepertimana yang dihasratkan dalam kerangka Ekonomi Malaysia Madani.

“UTM juga optimis bahawa fakulti ini berupaya memajukan peradaban manusia mengikut acuan Malaysia Madani,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurut Ahmad Fauzi, kejayaan inisiatif ini dapat dilaksanakan kerana UTM mempunyai lebih 100 pakar yang sedia ada dalam bidang AI merentasi pusat pengajian di universiti awam ini.

Katanya, tenaga pakar ini terdiri daripada ahli akademik dari Fakulti Komputeran, Fakuti Kejuruteraan Elektrik, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Kejuruteraan Awam, Fakulti Alam Bina dan Ukur, Fakulti Pengurusan dan Fakulti Teknologi dan Informatik Razak.

“UTM juga merupakan universiti awam yang mempelopori bidang ini dengan meluas. Kami juga mempunyai pusat kecemerlangan seperti Pusat Kecemerlangan Kepintaran Buatan dan Robotik (CAIRO), Pusat Data Raya (BDC), Pusat Penyelidikan Kardiovaskular IJN-UTM dan Institut Kejuruteraan Berpusatkan Manusia (iHumEn).

“Selain itu, UTM telah menghasilkan pelbagai inovasi berteraskan kecerdasan buatan seperti aplikasi robotik untuk industri, aplikasi perubatan dan kesihatan serta perisian pintar.

“Antara produk yang telah dihasilkan adalah ARTECH INSPECTO (Robot pintar berteknologi tinggi bagi melakukan pemeriksaan dan pembersihan di ruang yang sempit), A2TECH X3CATOR (robot pintar untuk pencarian tanpa wayar), aplikasi DIANA Hologram Pintar untuk keselamatan digital dan pembantu sosial pintar dan lain-lain perisian yang telah digunakan oleh industri,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI