PETALING JAYA – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan memaklumkan perincian berkenaan pelaksanaan insentif diskaun bayaran balik pinjaman dalam masa terdekat.
Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) amat berterima kasih dan komited untuk melaksanakan pemberian insentif diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN bermula 14 Oktober hingga 31 Mac 2024 melalui Belanjawan 2024.
Katanya, usaha murni itu merupakan keprihatinan kerajaan ke atas peminjam PTPTN yang bersungguh-sungguh membayar balik pinjaman walaupun dalam keadaan ekonomi yang getir di samping untuk memastikan PTPTN kekal mampan.
“Sebagai sebuah kerajaan Malaysia Madani yang bersifat ihsan, peduli, berkasih sayang dan merasai keperitan rakyat, Kerajaan telah memberikan insentif diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN melalui Belanjawan 2024.
“Semoga insentif ini dapat membantu peminjam PTPTN di dalam membuat bayaran balik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengumumkan kerajaan bersetuju untuk memberikan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN.
Diskaun itu dibahagikan kepada tiga kategori dengan kadar yang telah ditetapkan iaitu diskaun 10 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman.
Selain itu, turut diberikan ialah diskaun 10 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran serta diskaun sebanyak 15 peratus untuk bayaran secara potongan gaji atau debit terus berjadual. – KOSMO! ONLINE