fbpx

Belanjawan 2024: M40, pekerja swasta ‘garu kepala’, kurang dapat habuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Rata-rata golongan M40 dan pekerja swasta mengeluh apabila pembentangan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam tidak memberikan berita gembira kepada mereka.

Ini kerana kebanyakan mereka berharap agar pembentangan Belanjawan 2024 sekurang-kurangnya memberi berita gembira terutamanya kepada golongan M40.

Menerusi tinjauan Kosmo! di laman sosial, rata-rata golongan M40 masih mengharapkan sedikit imbuhan buat mereka seperti bantuan menerusi sumbangan tunai rahmah (STR).

Ujar mereka, golongan M40 terutamanya yang tinggal di bandar besar seperti Lembah Klang gaji mereka kini hanya ibarat seperti B40, malah ada yang cukup-cukup makan sahaja.

“Ingatkan ada berita gembira buat M40, dapat STR sikit pun jadilah buat tambah-tambah untuk keperluan harian kerana kos sara hidup di Lembah Klang amat tinggi ketika ini,” Alif Ahmad.

“M40 kalau duduk di Lembah Klang ni, seperti B40 je, nak-nak sekarang semua mahal. Tetapi apakan daya masih belum ada rezeki buat kami dalam Belanjawan 2024 ini,” tulis Ika Razman.

Mengulas lanjut, orang ramai turut terkilan apabila tiada insentif yang boleh mengembirakan pekerja swasta dalam pembentangan Belanjawan 2024 semalam.

“Kami tunggu jugak kalau PM (Perdana Menteri) nak umum bonus atau kenaikan gaji minimum buat pekerja swasta,” kata Nail Ramli.

Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Aqilah Fazura.

“Untung kakitangan kerajaan, kami pekerja swasta masih menunggu berita gembira daripad majikan, biasanya hujung tahun baru tahu,”jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI