PETALING JAYA – Ketika perlawanan pertama Piala Pesta Bola Merdeka 2023 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) malam ini, rumput padang yang baru ditukar menjadi tumpuan para peminat bola tanah air.
Perlawanan pertama antara Harimau Malaya bertembung skuad India itu, kualiti permainan pasukan kebangsaan ternyata semakin baik namun yang menjadi persoalan adalah berkenaan kualiti padang.
Rata-rata peminat bolas sepak tempatan menjelaskan kualiti rumput masih sama sebelum ini walaupun telah ditukar kepada rumput baharu beberapa bulan yang lalu.
“Aku tengok rumput padang Bukit Jalil ni macam sama saja, ‘player’ lari atau ada bentesan mesti ada yang tercabut lagi. Nak kata hujan lebat hari ini pun tak ada,” jelas Zalisham.
“Tak akan la rumput baru tukar masih macam tu, atau tempoh penggunaanya masih baru. Apa-apa pun Malaysia menang,” kata Muhammad Izwan.
Terdahulu, SNBJ ditutup sejak 15 Jun tahun lalu bagi menjalani kerja baik pulih penggantian rumput selepas menjadi bahan kritikan selepas ditakungi air selepas beberapa perlawanan antarabangsa.
Proses tersebut melibatkan penggantian rumput jenis Zeon Zoysia dengan digantikan dengan rumput jenis Cow Grass yang bermula sejak April lalu.
Proses baik pulih itu dianggarkan mencecah kos sehingga RM1.4 juta yang ditaja oleh Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT).
Dalam perlawanan tersebut, Malaysia mencatatkan kemenangan 4-2 dan layak untuk ke perlawanan akhir bertembung Tajikistan. – KOSMO! ONLINE.