PETALING JAYA – Pengumuman kerajaan untuk meningkatkan paras harga pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) kepada RM3 sekilogram dengan peruntukan RM400 juta merupakan berita baik buat Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).
Pengerusinya, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, langkah tersebut sekali gus dapat meningkatkan pendapatan golongan penoreh getah.
“Risda yakin dengan adanya peningkatan ini, ianya akan meningkatkan permohonan tanam semula dan perusahaan kebun-kebun getah matang kembali aktif pada tahun 2024,” katanya dalam satu kenayataan hari ini.
Tambah Noraini, pihaknya amat menghargai inisiatif kerajaan dalam memberikan peruntukan sebanyak RM90 juta kepada Risda dan Felcra untuk menggalakkan pekebun kecil mengoptimumkan penggunaan tanah ladang mereka.
“Langkah ini akan membolehkan kepelbagaian pendapatan pekebun kecil dan tidak hanya bergantung kepada sumber getah semata-mata,” jelansya.
Selain itu, Noraini berkata, Risda turut menghargai inisiatif kerajaan menyediakan peruntukan RM100 juta dan RM70 juta untuk memperkasa industri sawit melalui program tanam semula
dan kelestarian.
“Ini akan memperkasakan lagi penglibatan syarikat-syarikat di bawah Risda yang bergiat aktif dalam bidang industri sawit negara.
Pihak Risda juga amat berbangga dengan pengumuman Perdana Menteri berhubung membangunkan kaedah penggunaan gas stimulan yang dapat meningkatkan pengeluaran getah.
“Melalui peruntukan sebanyak RM10 juta untuk projek rintis ini, ianya bakal memberikan nilai tambah kepada inovasi industri getah negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE