KUANTAN – Air bertakung di sekitar Taman Guru di sini termasuk ekoran keadaan longkang yang tidak sempurna menimbulkan keresahan dalam kalangan pengguna kerana persekitaran yang berbau busuk selain dibimbangi menjadi pembiakan nyamuk aedes.
Seorang penduduk Wan Rafidah Razali, 47, berkata, masalah longkang bertakung di sekitar kawasan perumahan berkenaan berlaku sejak sekian lama dan menimbulkan ketidakselesaan.
“Bukan sahaja kotor dan berbau, malah dengan trend peningkatan wabak denggi di daerah Kuantan ia mendedahkan risiko keselamatan kepada kami,” katanya.
Razif Mustafa, 50, berkata, ada takungan air bagaikan jerangkap samar terutamanya kepada kanak-kanak.
“Saya tidak pasti lubang apa, namun ia sememangnya dalam, dan saya risau apabila melihat kanak-kanak bermain berhampiran lubang berkenaan,” katanya.
Airin Fasehah Ahmad Fikri, 14, berkata, dia dan rakan-rakannya sering bermain di kawasan berhampiran longkang termasuk ‘lubang air’ setiap petang.
Katanya, meskipun tiada kejadian terjatuh ke dalam lubang itu lagi, namun tindakan perlu diambil bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.