fbpx

K2

Belanja lebih RM1,200 sebulan kunjungi kolam berbayar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hasil pancingan Norazizi ketika berkunjung ke Kolam Air Masin Taman Universiti, Seri Kembangan baru-baru ini.

KEWUJUDAN kolam pancing berbayar di negara ini umpama cendawan tumbuh selepas hujan apabila bilangannya semakin bertambah dari semasa ke semasa.

Sama ada kolam yang dipenuhi udang galah, mahupun kolam ikan air tawar atau air masin, ia pasti akan dikunjungi pemancing-pemancing yang sentiasa dahagakan daya tarikan hidupan air tersebut.

Bagi seorang kaki pancing tegar yang tinggal di Taman Sri Langat, Kajang, Selangor, Norazizi Zakaria, kewujudan kolam pancing berbayar dianggap sebagai penyelamat bagi kaki pancing yang sibuk dengan kerja sepertinya.

Dengan adanya kolam pancing seumpama itu, dia dapat melunaskan hobinya pada bila-bila masa sahaja.

“Saya peminat tegar aktiviti memancing sejak 25 tahun lalu dan telah banyak lokasi memancing yang saya kunjungi sama ada ketika tinggal di kampung di Kelantan atau pun ketika sudah berpindah di Kajang.

“Saya banyak menjadikan sungai dan tasik sebagai ‘port’ untuk memancing ikan seperti kelah, sebarau, haruan dan toman.

“Namun, sejak mula sibuk dengan urusan kerja, saya sudah tidak banyak masa meredah hutan dan sungai untuk memancing.

“Disebabkan terlalu meminati hobi memancing, akhirnya saya mula berjinak-jinak dengan aktiviti memancing di kolam berbayar yang banyak terdapat di sekitar Lembah Klang,” katanya.

Jelasnya lagi, antara kolam yang kerap dikunjungi ialah Kolam Air Masin Gansaan di Banting, dan Kolam Air Masin Taman Universiti di Seri Kembangan.

Dia yang lebih dikenali dengan gelaran Pok Ya dalam kalangan rakan-rakan sehobinya memberitahu lebih gemar mengunjungi kolam air masin bagi memburu ikan siakap, kerapu, kaci dan jenahak berbanding ikan kolam air tawar.

Ini kerana jelasnya, ikan air masin terutama siakap dan kaci lebih sesuai diburu menggunakan teknik casting yang menjadi kegemarannya berbanding teknik pelampung atau ‘bottom’ yang banyak digunakan untuk memburu ikan kolam air tawar.

Bercakap mengenai mesin pancing yang digunakan, Pok Ya memberitahu, disebabkan saiz ikan kolam berbayar kebiasaannya tidaklah terlalu besar, maka dia hanya menggunakan set pancing untuk aksi ringan.

Terang Pok Ya, biasanya dia akan menggunakan tali bersaiz antara 10 paun hingga 15 paun yang dipadankan dengan tali perambut 20 paun bagi mengelak ia mudah terputus ketika dibaham ikan terutama siakap.

Bagi umpan pula jelasnya, dia lebih gemar menggunakan sama ada udang hidup, udang kopek atau ‘soft plastic’ kerana ketiga-tiga jenis umpan tersebut sesuai untuk teknik casting.

Ikan siakap di kolam pancing berbayar biasanya bersaiz antara 1 kg hingga 5 kg.

“Saya lebih gemar menggunakan teknik casting, jadi ikan air masin seperti siakap, kaci dan jenahak lebih sesuai kerana ia spesies ikan pemangsa dan agak ganas ketika melawan.

“Tambahan pula, adrenalin saya sebagai seorang kaki pancing akan lebih terangsang apabila ikan menyambar umpan di saat tali pancing sedang ditarik melalui teknik casting,” katanya.

Kongsi Pok Ya lagi, selepas bertukar kerjaya kepada pemandu trak tunda baru-baru ini, dia semakin mudah untuk menyesuaikan masa antara waktu kerja dengan masa melunaskan hobinya itu.

Kini katanya, dia berpeluang untuk berkunjung ke kolam pancing antara tiga hingga empat kali seminggu dan sanggup mengeluarkan belanja lebih RM1,200 sebulan untuk bayaran masuk ke kolam pancing.

Pun begitu katanya, bayaran tersebut dianggap berbaloi apabila dia jarang pulang dengan tangan kosong setiap kali memancing di kolam.

“Kebiasaannya, saya akan mendapat lima hingga 10 ekor ikan dalam tempoh empat jam memancing.

“Pernah juga saya dapat sehingga 15 ekor ikan siakap yang bersaiz antara 1.5 kilogram (kg) hingga 2 kg setiap satu.

“Pernah satu ketika, saya berjaya menaikkan ikan siakap seberat 4 kg ketika memancing di sebuah kolam air masin di sekitar Kajang kira-kira empat tahun lalu,” katanya.

Ditanya apa yang dilakukan dengan hasil pancingan yang diperolehnya itu, Pok Ya memberitahu, kebiasaannya dia akan menjual sebahagian besar ikan berkenaan kepada pihak kolam.

Selain itu katanya, dia juga akan menjualnya kepada rakan-rakan sekiranya ada tempahan daripada mereka.

“Kebiasaannya, pihak kolam akan membeli semula ikan yang dipancing pada harga sekitar RM10 sekilogram.

“Jika ada rakan-rakan yang tempah, saya akan menjualnya pada harga RM15 sekilogram dan harga tersebut masih rendah jika dibanding dengan harga di pasar,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI