BENTONG – Lebih daripada 360 peserta dari 17 negara seluruh dunia menghadiri Persidangan Olave Tahunan Persatuan Baden-Powell (OB-PS) 2023 yang diadakan di Genting Highlands Malaysia, buat kali pertama sejak 1998.
Persidangan dirasmikan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut dihadiri Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah.
Peserta dari pelbagai negara antaranya United Kingdom, Australia, Nigeria, Amerika Syarikat, Korea, Jepun, Malaysia dan New Zealand menyokong Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia (WAGGGS).
Raja Permaisuri Agong yang juga Pengerusi Pengelola, Persidangan OB-PS Malaysia 2023 bertitah, persidangan itu adalah bagi membincangkan pertumbuhan dan perkembangan wanita muda seterusnya memperkasakan mereka sebagai pemimpin masa depan dunia.
“Dalam konteks ini Persatuan Pandu Puteri Malaysia (GGAM) komited dan telah mengumpul momentum dan kekuatan 300,000 ahli sejak menjadi ahli Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia (WAGGGS) pada tahun 1960.
“GGAM telah mendapat pengiktirafan atas sumbangannya ke arah menyatukan pelbagai kumpulan kaum dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia,”titah baginda pada majlis perasmian Persidangan OB-PS di Genting Highlands di sini yang turut dihadiri Penaung OB-PS, Puteri Benedikte dari Denmark dan isteri Perdana Menteri Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail.
Pada majlis itu Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong turut menyampaikan 140 anugerah termasuk Anugerah Puteri Benedikte (PBA), Ahli OB-PS baharu, Anugerah Emas, Global dan Presiden, Anugerah Kepimpinan, Inovator dan Berwawasan.
Menurut baginda, persatuan itu komited terhadap pembangunan gadis dan wanita melalui penghayatan pengetahuan bimbingan puteri, kemahiran dan nilai untuk memberi manfaat kepada masyarakat, negara dan dunia.
Sementara itu, Timbalan pengerusi penganjur dan Ahli Lembaga Antarabangsa OB-PS, Datuk Seri Anne Eu berkata, OB-PS bertujuan untuk menggalakkan wanita mengembangkan potensi penuh mereka dan mencapai matlamat ditetapkan.
Beliau memberitahu, wanita muda di seluruh dunia termasuk Malaysia semakin diiktiraf sebagai pembuat perubahan dalam pelbagai bidang dan mereka telah berada di barisan hadapan dalam memacu perubahan sosial, ekonomi dan politik yang positif. – KOSMO! ONLINE