PUTRAJAYA – Seorang pembantu operasi sebuah kolej didakwa di Mahkamah Sesyen, hari ini, atas tujuh tuduhan melakukan amang seksual fizikal dengan menyentuh kemaluan lima remaja lelaki.
Bagaimanapun, tertuduh berusia 44 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datin M. Kunasundary.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ketujuh tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap lima remaja lelaki berusia 16 dan 17 tahun dengan menyentuh kemaluan mereka bagi tujuan seksual,.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kolej di Selangor antara Februari 2022 hingga September lalu (2023).
Pendakwaan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah akta sama yang membawa kepada hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Faraheen Yahya, menawarkan jaminan RM60,000 bagi kesemua pertuduhan
“Syarat tambahan melaporkan diri ke balai polis berdekatan setiap bulan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan tidak mengganggu mangsa,” katanya.
Bagaimanapun peguam tertuduh, Nasrul Hadi Mat Saad, memohon jaminan rendah dengan alasan anak guam perlu menanggung keluarga.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, hakim Kunasundary kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 bagi semua tuduhan berserta syarat tambahan seperti dicadangkan pihak pendakwaan.
Mahkamah kemudian menetapkan 21 Disember ini untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE