JAKARTA – Pelumba Indonesia, Mario Suryo Aji yang kini bersaing dalam perlumbaan Moto3 sah dinaikkan pangkat untuk menyertai pasukan Idemitsu Honda Team Asia dalam kelas Moto2 Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim depan.
Keputusan tersebut dibuat dalam satu sesi sidang media semalam sehari sebelum perlumbaan Grand Prix (GP) Indonesia yang membuka tirai di Litar Antarabangsa Mandalika hujung minggu ini.
Mario Aji yang kini berusia 19 tahun itu akan menyertai pelumba Thailand, Somkiat Chantra pada tahun depan.
Chantra akan kekal mewakili pasukan tersebut untuk musim keenamnya selepas cemerlang sewaktu menjuarai perlumbaan di Grand Prix (GP) Jepun baru-baru ini.
“Akhirnya, saya boleh mengesahkan bahawa saya akan berpindah ke Moto2 musim depan. Ia berita baik dan saya tidak pernah rasa teruja seperti ini sebelum ini.
“Saya menunggu untuk menamatkan musim ini dengan baik dan mula berlatih dengan lebih gigih lagi. Saya tahu langkah ini tidak akan mudah.
“Apapun, saya menerima cabaran ini. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua orang yang telah menyokong saya. Saya boleh belajar dengan cepat dan menyesuaikan diri dengan pantas dengan perlumbaan Moto2,” kata Mario Aji.
Hiroshi Aoyama akan meneruskan peranannya sebagai pengurus pasukan Idemitsu Honda Team Asia dan berharap kedua-dua pelumba Asia itu mampu tampil dengan baik.
Sebagai rekod, Mario Aji telah bersaing dua musim dalam perlumbaan kelas Moto3 dan sepanjang 14 perlumbaan musim ini dia hanya sekadar mengutip empat mata. -KOSMO! Online.