fbpx

Banjir: Siap sedia selamatkan harta benda, dokumen penting

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SEREMBAN- Semua penduduk di Negeri Sembilan dinasihat serta diingatkan untuk sentiasa bersedia dengan keselamatan harta benda dan dokumen penting berikutan hujan lebat yang kerap berlaku kebelakangan ini yang turut menjurus berlakunya banjir kilat.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sehubungan itu, penduduk perlu berwaspada dalam tempoh Monsun Timur Laut selain peka dengan sebarang perubahan cuaca yang berlaku.

“Kami sedia maklum Monsun Timur Laut memberi kesan kepada beberapa daerah di negeri ini yang dilanda hujan yang terlalu lebat hingga menyebabkan banjir kilat.

“Sehubungan itu, semua masyarakat perlu bersedia dengan keselamatan dan barang-barang keperluan dan dokumen yang penting, beri perhatian untuk mengelakkan kerugian yang lebih besar jika banjir kilat berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di sini selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Pembasmi Kuman dan Pensanitasi Tangan (hand sanitizer) daripada Yayasan Al Ammar untuk kegunaan masjid-masjid di negeri ini.

Tiga buah daerah di negeri ini iaitu Jempol, Kuala Pilah dan Tampin terjejas akibat banjir kilat selepas hujan lebat berlaku tengah malam semalam.

Dalam pada itu, Aminuddin menambah, beliau juga telah mengarahkan pejabat-pejabat daerah di seluruh negeri ini untuk turut bersedia sekiranya berlaku banjir kilat di kawasan mereka.

“Saya telah meminta pejabat daerah masing-masing untuk bersedia dan pasukan pasca banjir yang ada di Seremban juga akan membantu beberapa daerah yang terjejas banjir,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI