PETALING JAYA – Keberanian seorang remaja di Miri, Sarawak yang bertindak menangkap biawak besar hanya dengan menggunakan tangannya sahaja, mencuri perhatian pengguna media sosial.
Menerusi video yang dimuat naik di akaun TikTok @mr.jebon000, remaja berkenaan menindih seekor biawak di bawah badannya manakala sebelah tangannya lagi dilihat memegang kepala seekor biawak yang lain.
Difahamkan remaja berkenaan sememangnya suka menangkap biawak dari usianya masih kecil sehingga meningkat remaja.
“Dari kecil sampai ke besar suka tangkap biawak. Tak perlu telefon bomba dah, dia boleh tangkap sendiri,” tulis pemilik akaun tersebut di ruangan kapsyen.
Sehingga kini, video tersebut telah mendapat 300,300 tontonan, 15,700 tanda suka dan 1,477 perkongsian.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai yang terkesima dengan keberanian remaja itu untuk menangkap biawak sedangkan haiwan reptilia itu kebiasaannya ditakuti kerana sifatnya yang sangat lincah.
“Bukan senang tangkap biawak. Adik ini memang jaguh, terus tangkap dua ekor,” komen Zurus.
“Kalau aku jumpa awal adik ini, aku nak bawa dia pergi rumah sewa lama aku. Aku terpaksa pindah sebab biawak lagi-lagi malam-malam main atas bumbung. Tak lena tidur,” komen Hakan.
“Aku geli dengan biawak ini. Dia macam cicak, aku geli spesies yang macam cicak ke, ular ke, mengkarung ke. Berani betul adik ni. Betul-betul kena puji,” komen seorang pengguna yang lain. – KOSMO! ONLINE
@mr.jebon000 Dari kecik smpy ke bsr ska tngkap biawak😹😹😹#hiburantiktok #tangkapbiawak #miriviral #funnyvideos ♬ Funny Laugh no no no – Sound Effect