MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer berdepan dilema apabila duo pertahanan, Harry Maguire dan Victor Lindelof dilaporkan masih belum pulih daripada kecederaan.
United akan melayan kunjungan West Bromwich Albion pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford awal pagi esok dan ketiadaan dua pemain itu meresahkan skuad The Red Devils.
Maguire dilaporkan mengalami kecederaan pada bahagian kaki ketika beraksi bersama England, sementara Lindelof berdepan kecederaan belakang ketika membantu Sweden bertemu Perancis.
Justeru, Solskjaer dikatakan sedia untuk mengubah rejim latihan Lindelof memandangkan pemain Sweden itu akan berdepan jadual padat sepanjang Disember dan Januari depan.
Sebelum ini, Lindelof sudah diketepikan ketika United tewas 1-2 kepada Istanbul Basaksehir pada saingan Liga Juara-Juara dengan Solskjaer menurunkan Axel Tuanzebe di posisi pertahanan tengah.
Bagaimanapun, United mendapat perkhabaran gembira apabila Eric Bailly yang sudah berehat lebih sebulan akibat kecederaan otot dikatakan hampir cergas sepenuhnya.
Sementara itu, bek kiri, Alex Telles mungkin akan melakukan penampilan pertama dalam Liga Perdana selepas selesai menjalani perintah kuarantin akibat positif Covid-19. – AGENSI