PENGENDALI India, Igor Stimac seakan-akan sudah bersedia untuk menerima kekecewaan apabila melabelkan skuad Harimau Malaya memiliki segala kelebihan untuk memenangi perlawanan Pestabola Merdeka di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.
Selain mengakui perubahan yang dibawa oleh Kim Pan Gon terhadap Harimau Malaya, Stimac juga menjadikan faktor penyokong akan memberi manfaat besar kepada persembahan Malaysia.
Walaupun lebih selesa untuk mengendurkan tekanan terhadap pemain, Stimac tetap menaruh harapan untuk mencipta kejutan ke atas Harimau Malaya.
“Kami membuat analisis permainan Malaysia termasuk ketika menentang China, mereka bermain dengan bagus dan kali ini mereka akan mendapat sokongan daripada penyokong sendiri.
“Saya boleh katakan peluang lebih memihak kepada Malaysia kerana perlawanan itu akan berlangsung di gelanggang mereka. Objektif kami adalah tidak mahu ada pemain yang cedera, namun kami akan cuba dapatkan kemenangan dan mara ke final.
“Jika gagal kami tidak akan terlalu sedih kerana kami ada perkara penting pada November ini iaitu kelayakan Piala Dunia,” katanya pada sidang media di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), semalam.
Pada masa sama, Stimac mengakui persiapan pasukannya tidak berjalan seperti yang dirancang selepas beberapa pemain utamanya mengalami kecederaan.
“Kami sangat gembira menyertai Pestabola Merdeka dan kami tahu bagaimana sejarah kejohanan ini. Harapan saya sentiasa tinggi, saya mahu semua pemain memberikan segala-galanya di atas padang apabila menyarung jersi skuad kebangsaan,” katanya.