fbpx

Tiga bot nelayan asing ditahan rompak hasil laut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HASIL tangkapan yang dirampas pihak Maritim Malaysia Zon Mersing semalam.

MERSING – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Mersing menahan tiga buah bot nelayan Vietnam bersama 37 kru selepas disyaki menceroboh dan merompak hasil laut pada kedudukan 15.1 batu nautika timur laut Pulau Aur di sini semalam.

Pengarah Maritim Zon Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata, tangkapan bot nelayan asing berkenaan dilakukan oleh bot ronda Maritim Malaysia dalam rondaan penguatkuasaan OP Jaksa dan OP Tiris sekitar perairan daerah ini pada pukul 7.30 petang.

“Tiga buah bot nelayan asing tersebut ditahan ketika sedang leka melakukan aktiviti menangkap hasil laut. Pemeriksaan ke atas ketiga-tiga buah bot nelayan asing tersebut menggunakan nombor pendaftaran asing dari negara Vietnam dan dikendalikan 37 kru termasuk tekong.

“Semuanya lelaki warga Vietnam berumur antara 18 hingga 66 tahun tanpa dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati semua bot tidak mempunyai sebarang dokumen kebenaran melakukan aktiviti perikanan di perairan Malaysia.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM2.5 juta. Maritim Malaysia mengambil serius dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti pencerobohan vesel penangkapan ikan negara asing bagi mengaut hasil laut dalam perairan negara,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI