fbpx

Perak bakal jadi hab industri mineral

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anuar Zainal

PETALING JAYA – Penubuhan makmal analisis nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) mampu menjadikan Perak sebuah hab yang komprehensif bagi memacu pembangunan industri mineral di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc), Anuar Zainal Abidin berkata, penubuhan makmal tesebut berupaya merancakkan lagi industri mineral selari dengan agenda perlombongan bertanggungjawab seperti digariskan dalam pelan Perak Sejahtera 2030.

“Pada masa yang sama, makmal analisis mineral ini juga berupaya membantu Perak menjadi pemangkin di peringkat huluan yang akhirnya akan memberi nilai tambah kepada peringkat pertengahan dan peringkat hiliran masa depan.

“Ini sekaligus menjadi penanda aras penting bagi pembangunan industri nadir bumi, bukan sahaja di Perak, tetapi di Malaysia secara keseluruhan,’’ katanya dalam satu kenyataan akhbar, di sini, hari ini.

Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad baru-baru ini mengumumkan bahawa negeri itu akan membina makmal NR-REE yang pertama di Malaysia.

Menurutnya, makmal tersebut akan dibina di bawah kelolaan tiga agensi kerajaan negeri iaitu MB Inc, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

Tambah Saarani, pembinaan makmal tersebut sudah mendapat kebenaran Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (KeTSA) sewaktu Mesyuarat Mineral Negara pada baru-baru ini.

Sementara itu, Anuar menambah, keupayaan makmal berkenaan juga tidak hanya terhad kepada analisis unsur nadir bumi lantanida pada masa hadapan, malah berkemampuan menganalisa mineral- mineral lain yang berpotensi dikembangkan dari semasa ke semasa.

“Selain menyediakan kepakaran menganalisis dan menentusahkan kandungan elemen nadir bumi, makmal berkenaan juga membantu membangunkan pangkalan data untuk rujukan pada Kerajaan Negeri pada masa hadapan.

“Ia bukan sahaja menjurus kepada mineral lantanida semata-mata, tetapi juga kepada mineral-mineral lain yang berpotensi dimajukan sebagai sumber ekonomi negeri,’’ tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI