fbpx

First In, First Out tentukan duit ‘bersih’ dan ‘haram’ dalam akaun Najib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib.

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai kanan polis memberitahu Mahkamah Tinggi di sini jejak wang menerusi metodologi First In, First Out (FIFO) ke atas penyata akaun bank boleh menentukan “duit bersih” dan “duit haram” di dalam akaun Datuk Seri Najib Tun Razak.

Justeru wang daripada syarikat pelaburan Tanore Finance Corporation berjumlah AS$681 juta (RM2.081 bilion) yang diterima ke akaun peribadi Najib dapat diasingkan dengan wang daripada sumber lain dan yang sedia ada dalam akaun itu.

Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Asisten Komisioner Foo Wei Min, 47, berkata, FIFO adalah penggunaan teknik perakaunan ke atas pengiraan aliran wang keluar dan masuk ke atas suatu penyata akaun bank bagi menentukan jumlah wang hasil perolehan haram mengikut formula di dalam Microsoft Excel.

Menurut Wei Min yang juga saksi pendakwaan ke-48, bagi tujuan siasatan dan pembuktian pertuduhan pengubahan wang haram bagi akaun Ambank Najib yang berakhir dengan nombor 9694, beliau perlu mengenalpasti harta yang disiasat adalah hasil daripada aktiviti haram atau sebaliknya.

Katanya, pada awalnya beliau akan menentukan sama ada wang yang masuk ke dalam akaun itu adalah haram atau bersih.

“Wang haram ditentukan berdasarkan transasksi kemasukan daripada Tanore manakala wang bersih adalah wang yang sememangnya wujud atau pun daripada sumber lain yang tidak berkaitan 1MDB.

“Mengikut metodologi FIFO, setiap transaksi pengeluaran wang daripada Akaun AmBank 9694 akan menolak wang bukan perolehan yang tidak berkaitan dengan wang Tanore yang diterima daripada sumber lain dahulu sehingga wang berkenaan habis digunakan.

“Bagi tujuan siasatan kes ini, wang sedia ada yang digunakan adalah dianggap bersih. Penggunaan seterusnya selepas wang bersih adalah penggunaan wang haram.

“Maka pengeluaran wang seterusnya akan menolak wang haram dalam Akaun AmBank 9694 sehingga wang jumlah yang sama habis digunakan. Jika ada lagi transaksi kemasukan wang bukan perolehan Tanore selepas itu, maka pengeluaran seterusnya akan menolak wang yang diterima terbaharu itu,” katanya.

Wei Min berkata, prinsip faedah keraguan diberikan kepada pemegang akaun bank dengan kaedah FIFO kerana setiap transaksi yang dikenalpasti wang haram adalah wang haram semata-mata.

Beliau berkata, berdasarkan siasatannya juga, akaun Najib yang dicatatkan sebagai Amprivate Banking- MR mengesahkan hanya pemilik akaun boleh mengeluarkan dan menandatangani cek yang dikeluarkan daripada akaun terbabit.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung lagi petang ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI