BARCELONA – Bintang Inter Miami, Lionel Messi tidak akan menyertai mana-mana kelab lain termasuk juara Sepanyol, Barcelona apabila tamat saingan Liga Major Bola Sepak Amerika Syarikat (MLS).
Penyerang prolifik berusia 36 tahun itu kini hangat dikaitkan dengan kepulangan sensasi ke Barcelona selain turut dikatakan bakal mewarnai saingan Liga Pro Arab Saudi bulan depan.
Ia susulan Inter Miami terkeluar daripada perebutan slot playoff selepas tewas 0-1 kepada FC Cincinnati sekali gus menyaksikan kempen Messi berakhir lebih awal pada 21 Oktober ini.
Pakar bola sepak Sepanyol, Guillem Balague menjelaskan, Messi yang hanya bermain 72 minit dalam saingan MLS sejak awal September lalu disebabkan kecederaan, tidak akan berbuat perkara sedemikian.
“Messi akan diberikan cuti rehat selama sebulan sama seperti pemain-pemain bola sepak yang lain. Lupakan sahaja apa-apa perpindahan ke (Arab) Saudi atau mana-mana destinasi lain,” katanya.
Buat masa ini, Messi menyertai skuad antarabangsa Argentina untuk menghadapi dua aksi kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Paraguay di Buenos Aires pagi tadi dan Peru di Lima pada Rabu ini.
Selepas itu, bekas perancang Barcelona dan Paris Saint-Germain itu akan berehat selama sebulan sebelum kembali menjalani pramusim di Miami menjelang saingan musim baharu MLS yang akan bermula Februari tahun depan.
Pengurus Inter Miami, Gerardo Martino juga terkejut selepas mendengar spekulasi mengaitkan kepulangan Messi ke Barcelona selepas beliau baru sahaja menyertai kelabnya secara percuma pada Jun lalu.
“Jika anda mengatakan dia melawat Barcelona dalam tempoh percutian, mungkin ia lebih masuk akal. Namun, saya tiada apa-apa maklumat mengenai perkara lain,” jelasnya. – AGENSI