IPOH – Seorang wanita bergelar Datuk dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencuri dua utas jam tangan mewah jenama Rolex milik suaminya yang juga pegawai polis, tiga tahun lalu.
Tertuduh, Datuk Mou Ei Leen @ Eileen Mou, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Nora Sharif.
Mengikut pertuduhan, ibu kepada dua anak itu didakwa melakukan kecurian dalam bangunan yang digunakan sebagai tempat simpanan harta benda iaitu seutas jam tangan Rolex Sky Dweller (Model 326135) nombor siri 0890R359 dan seutas jam tangan Rolex GMT Master-II 9 (Model 116718 LN) nombor siri A9R56702.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Pinggiran Rapat Ria, Ipoh pada bulan Januari 2021.
Bagi kesalahan tersebut, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Nabilah Norzam manakala tertuduh diwakili peguam Gurbachan Singh.
Terdahulu, Noor Nabilah mencadangkan wang jaminan sebanyak RM7,000 namun Gurbachan memohon jumlah jaminan minimum atas alasan anak guamnya merupakan suri rumah dan menjaga dua anak yang masih bersekolah.
“Anak guam saya sekarang dalam proses perceraian dan kini tinggal berasingan dengan suaminya sejak dua tahun lalu. Ketika kejadian berlaku, kedua-dua mereka masih tinggal bersama,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 November depan untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE