BANDAR GAZA – Satu-satunya loji jana kuasa elektrik di Semenanjug Gaza kehabisan bahan api ketika rantau tersebut terus diserang dan dikepung secara menyeluruh oleh tentera Israel, lapor akhbar The Sun semalam.
Israel menyekat bekalan bahan api, makanan dan ubat yang sepatutnya memasuki wilayah tersebut selepas melancarkan serangan ke atas Gaza sejak Sabtu lalu.
Gaza yang memiliki 2.3 juta penduduk bergelap semalam selepas loji jana kuasa di wilayah itu kehabisan bahan api.
Ketua Penguasa Tenaga Gaza berkata, stesen tersebut berhenti beroperasi pukul 2 petang (waktu tempatan) semalam.
Beberapa jam sebelumnya, bekalan elektrik di beberapa buah hospital berkurangan dengan pantas, menyebabkan doktor-doktor tidak dapat menggunakan peralatan pembedahan.
Seorang pegawai kesihatan berkata, nyawa ratusan kanak-kanak kini berada dalam risiko.
Menurut Pihak Berkuasa Tenaga, situasi semasa adalah sangat sukar.
“Keadaan ini mewujudkan krisis kemanusiaan kepada semua penduduk Semenanjung Gaza,” katanya.
Lebih 1,200 penduduk Gaza terkorban sejak perang bermula Sabtu lalu, manakala 5,600 yang lain cedera, demikian menurut Kementerian Kesihatan Palestin.
Tentera Zionis meningkatkan serangan dengan mengerahkan berpuluh-puluh jet pejuang ke Gaza serta melancarkan 250 serangan udara dalam masa hanya sejam awal semalam, lapor laman berita Fox News. – AGENSI