PETALING JAYA – Kes kemasukan ke hospital meningkat dua kali ganda sekali gus meningkatkan kos perbelanjaan yang sangat tinggi akibat jerebu yang melanda negara.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kes kemasukan ke hospital meningkat secara ketara sehinggakan pekerja tidak dapat hadir ke kerja.
“Beberapa operasi telah dibatalkan dan pernah ketika tahun 2015 hingga 2019 kerana jerebu.
“Sebab itu saya faham keprihatinan dan ramai yang merasakan pendekatan yang kita ada buat masa ini tidak mencukupi untuk kita tangani.
“Kita percaya sememangnya ASEAN ini kita dapat bergerak dengan lebih baik jika kita bergerak bersama,” katanya bagi menjawab pertanyaan Datuk Idris Ahmad (PN – Bagan Serai) dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Walau bagaimanapun, Nik Nazmi tidak dapat memperincikan sejauh mana kos terpaksa ditanggung Malaysia dan akan memberikan jawapan secara bertulis kepada Idris.
Dalam pada itu, beliau berkata tiada peruntukan undang-undang khas yang boleh dikuatkuasakan kepada syarikat atau negara menjadi punca kepada jerebu rentas sempadan di negara.
“Perundangan yang kita ada iaitu Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) bertujuan mencegah, menghentikan dan mengawal pencemaran alam sekitar yang dikuatkuasakan dalam negara sahaja.
“Berkenaan jerebu rentas sempadan yang dikaitkan dengan pembakaran terbuka di Sumatera dan Kalimantan, buat masa ini kerajaan mengambil pendekatan diplomasi dan berpandangan bahawa rundingan adalah jalan terbaik untuk kita tangani isu pencemaran udara,” katanya. – KOSMO! ONLINE