PETALING JAYA – Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan Gelembung Perjalanan Domestik seperti yang dicadangkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya (MOTAC) bagi merancakkan aktiviti pelancongan domestik.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sidang khas hari ini bersetuju membenarkan pergerakan tetapi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Pergerakan rentas daerah dalam negeri hijau serta pergerakan rentas negeri antara negeri hijau pula tidak perlu mendapatkan surat kebenaran polis.
“Manakala pergerakan rentas negeri antara negeri hijau melalui negeri merah dan pergerakan rentas daerah atau negeri dari negeri hijau ke Daerah Hijau di negeri merah kedua-duanya perlu mendapatkan surat kebenaran daripada pihak polis,” katanya menerusi satu sidang akhbar melalui Facebook Kementerian Pertahanan di sini hari ini.
Jelasnya, kelonggaran Gelembung Perjalanan Domestik ini akan berkuatkuasa pada 22 November 2020 nanti serta akan menggunakan aplikasi My Sejahtera bagi menentukan seseoarang itu datang dari zon hijau.
“SOP terperinci akan diumumkan oleh MOTAC dalam masa terdekat,” ujarnya. – K! ONLINE