JOHOR BAHRU – Tapak pelupusan sampah di Tanjung Langsat, Pasir Gudang di sini bakal dimodenkan dengan penggunaan kaedah pembakaran ‘insinerator’ yang dijangka akan disediakan bermula tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, usaha itu dibuat bagi menaiktaraf sistem pelupusan sampah tradisional sedia ada di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, langkah itu sekaligus akan menyelesaikan masalah tapak pelupusan sampah kritikal yang dilaporkan berlaku bukan sahaja di Pasir Gudang, tetapi di negeri ini.
“Sistem pelupusan sampah di sini (Pasir Gudang) adalah secara tanam, dimana sampah dilonggokkan dan akan ditanam. Namun kerajaan negeri sedang mendapatkan insinerator bagi menaiktaraf sistem pelupusan sampah di sini.
“Teknologi sama digunakan di negara-negara maju seperti di China dan Jerman. Ia akan menjadi yang pertama di negeri ini dimana sampah yang dibakar akan menghasilkan gas dan baja, yang mana ia juga akan mengurangkan pencemaran alam.
“Sekiranya berjalan dengan lancar dan longgokan sampah di kawasan ini dapat diselesaikan, kita akan bawa sampah daripada tapak pelupusan lain untuk diuruskan di sini,” katanya selepas meninjau tapak pelupusan sampah di Tanjung Langsat, Pasir Gudang, di sini.
Mohd. Jafni turut memberitahu, minimum kuantiti pembakaran sampah oleh insinerator itu adalah sebanyak 800 tan sehari, manakala tapak pelupusan sampah berkenaan menerima sekitar 350 tan sampah sehari. – KOSMO! ONLINE