NEW YORK – Sekurang-kurangnya 11 kakitangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB) di samping 30 pelajar beberapa buah sekolah PBB di Semenanjung Gaza terbunuh sejak pejuang Hamas melancarkan serangan ke atas Israel, kata seorang jurucakap semalam.
“11 kakitangan UNRWA terbunuh sejak Sabtu lalu,” jurucakap berkenaan, Stephane Dujarric memberitahu pemberita, merujuk kepada agensi PBB untuk pelarian Palestin yang turut mengendalikan sekolah-sekolah di Gaza.
“30 pelajar UNRWA terbunuh dan lapan lagi cedera. Mereka yang mati termasuk lima guru, seorang pakar ginekologi, seorang jurutera, seorang kaunselor dan tiga kakitangan sokongan.
“UNRWA berkabung bersama rakan sekerja kami dan waris mangsa.
“Kakitangan PBB dan orang awam perlu dilidungi setiap masa semasa konflik. Kami menggesa pertempuran dihentikan untuk mengelak lebih banyak kematian orang awam,” kata Timbalan Pengarah UNRWA, Jennifer Austin pula dalam satu kenyataan.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres turut menggesa supaya orang awam dilindungi dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa dipatuhi ketika Israel terus mengebom sasaran Hamas di Gaza semalam.
“Kira-kira 220,000 rakyat Palestin kini berlindung di 92 fasiliti UNRWA di seluruh Gaza. Premis PBB, hospital, klinik dan sekolah ‘tidak sesekali boleh menjadi sasaran serangan,” kata Guterres. – AFP