SEBERANG PERAI – Seorang juruaudit wanita berputih mata apabila mengalami kerugian RM1,486,750 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan sindiket pelaburan yang tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintendan Ng Ah Thiam berkata, kejadian itu berlaku Mei lalu semasa mangsa yang berusia 43 tahun itu sedang melayari satu laman Facebook.
Katanya, ketika itu, mangsa yang juga pengadu mengakui tertarik dengan satu iklan pelaburan dari sebuah syarikat yang dipercayai berpangkalan di New York, Amerika Syarikat (AS).
“Pengadu kemudian mengikuti pautan yang ada di iklan tersebut dan seterusnya mendapat penerangan mengenai pelaburan saham yang ditawarkan.
“Selepas mendapat penerangan itu, pengadu berminat untuk menyertainya sebelum membuat beberapa kali transaksi pembayaran dengan jumlah keseluruhan melebihi RM1.4 juta ke dalam beberapa akaun bank yang diberikan sindiket pelaburan berkenaan,” katanya di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Ah Thiam berkata, sehingga laporan polis mengenai perkara itu dibuat kelmarin, pengadu yang bekerja di sebuah syarikat swasta di Sungai Bakap di sini gagal untuk mengeluarkan keuntungan beserta wang modal yang dilaburkan.
Ujar beliau, pengadu bahkan secara berterusan telah menambah wang pelaburan bagi membolehkan pengeluaran wang dapat dilakukan. -KOSMO! ONLINE.