KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) gagal dalam permohonannya untuk menjalankan tanggungjawab termasuk memberi pendidikan asas agama Islam kepada tiga anak mualaf kepada ibu tunggal, Loh Siew Hong di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Hakim, Hayatul Akmal Abdul Aziz memutuskan demikian selepas menolak permohonan (MAIPs) selain mendapati permohonan tersebut tidak mempunyai merit.
Sementara itu, Siew Hong, 35, ketika ditemui selepas prosiding berkata, dia berasa lega dengan keputusan mahkamah hari ini.
“Saya hendak hidup tenteram itu sahaja dengan anak-anak saya , saya tidak mahu orang (mana-mana pihak ) kacau saya, cukuplah. Saya seorang ibu dan saya hanya hendak fokus pendidikan anak-anak saya, bukan ingat lagi kes mahkkamah….kami hendak hidup tenang ,itu saya yang saya minta,” katanya.
Dalam pada itu ketika ditanya sekiranya ada lagi pihak-pihak membuat apa-apa permohonan, Siew Hong berkata dia tidak mahu dengan perkara itu.
Sebelum ini, peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili MAIPs berkata, tidak timbul isu untuk meminda keputusan hak jagaan tiga anak beragama Islam itu kepada Siew Hong sebaliknya ia hanya menyentuh bimbingan agama dan nafkah.
Ketika hujahan, Mohamed Haniff berkata, berhujah majlis itu mempunyai tanggungjawab statutori di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perlis) 2006 untuk memastikan kebajikan kanak-kanak tersebut dipelihara.
Bapa kanak-kanak itu pula katanya, telah dipenjarakan, malah dia tidak mempunyai akses kepada anak-anak ini.
Sementara itu, peguam J.Gunamalar yang mewakili Siew Hong berhujah, perintah hak jagaan yang diperolehi oleh anak guamnya wajar dikekalkan sementara rayuan berhubung penukaran agama ketiga-tiga kanak itu didengar di Mahkamah Rayuan di Putrajaya.
Sebelum ini, dalam petisyen cerai, Siew Hong telah diberikan hak penjagaan dan kawalan tunggal ke atas anak-anaknya pada Februari tahun lalu.
Wanita berusia 35 tahun ini mendapat hak penjagaan selepas bekas suaminya, Muhammad Nagahswaran yang melarikan dan menukar agama tiga anak, tanpa kebenaran Siew Hong selaku ibu kanak-kanak itu.
Pada 21 Februari tahun lalu, tiga beradik berkenaan diletakkan bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat, kemudian diserahkan kepada Siew Hong apabila Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan habeas corpusnya.
MAIPs memfailkan permohonan untuk campur tangan pada 7 Mac tahun lalu, bagi membolehkan pihak berkuasa agama mempunyai locus standi untuk memohon mengubah syarat perintah tahanan yang diberikan kepada Wanita tersebut.
Majlis ini memohon perintah variasi bagi melaksanakan tanggungjawab terhadap tiga kanak-kanak itu antaranya membawa mereka menunaikan solat Jumaat dan meraikan hari-hari kebesaran Islam di masjid berhampiran dengan rumah.
Perintah itu juga termasuk memberi bantuan zakat serta membantu menampung kos sara hidup kanak-kanak itu dari aspek pendidikan, keperluan dan kebajikan. – KOSMO! ONLINE.