fbpx

Konflik Palestin-Israel: Penduduk kehabisan bekalan asas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk berpindah dari sebuah kawasan kejiranan yang diserang tentera Israel di Bandar Gaza, kelmarin. - AFP

BANDAR GAZA – Krisis kemanusiaan yang teruk berlaku pantas di Gaza selepas penduduk kini terkepung dengan ramai yang terputus bekalan makanan dan elektrik ketika memasuki hari keenam serangan udara tentera Zionis, lapor saluran berita CNN.

Angka kematian sejak serangan besar-besaran pejuang Hamas ke atas Israel awal Sabtu lalu  mencecah 3,000 orang setakat petang semalam dengan lebih 900 rakyat Palestin di Gaza terkorban.

Nadine Abdul Latif, 13, dari kejiranan Al Rimal berkata, dia dan keluarganya diberitahu oleh jiran dan saudara-mara untuk keluar dari kawasan itu Isnin lalu selepas Israel mengumumkan bahawa ia akan menyasarkan kawasan tersebut.

“Namun, kami memutuskan untuk tetap berada di sini kerana kami tidak mempunyai tempat yang selamat untuk pergi,” katanya.

Semenanjung Gaza, yang merupakan kawasan pantai yang dikuasai Hamas kini diserang bertubi-tubi sejak Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant mengarahkan pengepungan sepenuhnya di kawasan itu.

Ia termasuk menghentikan bekalan elektrik, makanan, air dan bahan api ke kawasan tersebut. 

Menurut Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA), ia telah menjadikan 83 sekolahnya di Gaza sebagai pusat perlindungan sementara.

“Namun setakat Isnin lalu, kemudahan-kemudahan itu sudah berada pada kapasiti 90 peratus dengan lebih 137,000 orang berlindung daripada serangan tentera Israel,” kata UNRWA.

Gaza adalah salah satu tempat paling padat penduduk di dunia di mana kira-kira 2.2 juta orang tinggal di kawasan seluas 362 kilometer persegi. Lebih separuh daripada penduduknya tidak mempunyai bekalan makanan mencukupi serta hidup di bawah garis kemiskinan, demikian menurut UNRWA.

Israel, yang mengawal sebahagian besar bekalan elektrik, air, bahan api dan makanan sebelum ini sudah pun mengenakan sekatan darat, laut dan udara yang ketat ke atas Gaza serta pernah membenarkan beberapa bantuan perdagangan dan kemanusiaan melalui dua lintasan yang dikawalnya.

Namun setakat ini, tiada penghantaran makanan atau barangan keperluan lain dari Mesir yang telah mengekalkan sekatan ketat ke atas Gaza bersama-sama dengan Israel atas sebab-sebab keselamatan sejak Hamas mengambil alih pemerintahan di wilayah itu pada 2007.

Penduduk juga sukar melarikan diri dari Gaza melalui sempadan Rafah dan Mesir dengan hanya 400 orang sehari dibenarkan masuk atau keluar. 

Namun, serangan udara Israel tanpa henti mengakibatkan pintu masuk di sebelah Palestin menjadi sasaran sehingga menyebabkan sebarang pergerakan yang melaluinya terhenti, demikian menurut Kementerian Dalam Negeri Palestin di Gaza.

Dalam pada itu di luar pasar raya terbesar di Gaza yang dibuka buat pertama kali sejak Sabtu lalu, orang ramai beratur di hadapan pintu belakang yang kecil dengan harapan untuk membeli apa sahaja barangan kerana bimbang pertempuran antara Israel dan Hamas akan berlanjutan untuk tempoh lama. 

Seorang penduduk kawasan kejiranan Al Rimal meluahkan rasa bimbang kerana tidak mempunyai hala tuju selepas rumah mereka musnah dalam serangan tentera Zionis selain terperangkap akibat sekatan Israel.

“Saya kehilangan segala-galanya. Unit apartmen saya di mana lima anak saya tinggal berada di  dalam bangunan ini. Kedai runcit saya di bawah bangunan juga telah musnah.

“Ke mana kami hendak pergi? Kami telah menjadi gelandangan. Tiada tempat berteduh lagi untuk kami atau pekerjaan,” kata Mohammed Abu al-Kass sambil membawa anak perempuannya, Shad.

Seorang lagi penduduk, Waad al-Mughrabi memberitahu Badan Penyiaran Britain (BBC) bahawa bekalan susu untuk anaknya juga semakin berkurangan.

“Bolehkah anda bayangkan bahawa kami hidup tanpa bekalan elektrik atau air pada abad ke-21? Bayi saya telah kehabisan lampin dan hanya tinggal separuh susu dalam botol,” ujarnya. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI